Categories
SELANGOR

Pusat penempatan beroperasi hingga selesai, 27 keluarga berkampung

OLEH HAFIZAN TAIB

SERENDAH, 28 NOV: Sejumlah 27 keluarga mangsa ditempatkan di pusat penempatan sementara di Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah, di sini, setakat ini.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Hulu Selangor, Abdul Razak Aziz, berkata semua mereka akan berkampung di situ sehingga arahan selanjut diberikan.

“Pusat penempatan ini beroperasi dari hari pertama sampai sekarang dan akan terus menempatkan semua mangsa hingga segalanya berakhir.

tanah-runtuh3“Kita menyediakan kemudahan asas kepada mereka semua seperti bahan makanan, khemah dan tempat tidur serta yang lain,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti hanya tiga keluarga masih belum mendaftar diri di pusat berkenaan.

Katanya, kini seramai 133 mangsa ditempatkan di sekolah berkenaan.

Mereka adalah sebahagian daripada 63 keluarga yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, di sini, Sabtu lalu.

Berikutan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis mengisytiharkan kawasan kejadian sebagai kawasan larangan Zon Merah.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dengan operasi pemantauan dan kerja pembaikan dijalankan 24 jam sejak semalam.

Sebelumnya, dilaporkan pengairan air dalam tanah menjadi punca berlakunya runtuhan tanah di kawasan berkenaan.

-nR-