Categories
SELANGOR

Rakyat perlu ambil manfaat kemudahan niaga disediakan

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 6 NOV: Rakyat perlu sentiasa bersikap oportunis dan memanfaatkan kemudahan dan peluang disediakan Kerajaan Negeri untuk berniaga.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, ia sekaligus meningkatkan jumlah usahawan dan memacu ekonomi negeri kepada tahap memberangsangkan.

“Bagi merealisasikan impian berkenaan, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk memudahkan orang ramai memulakan perniagaan.

“Melihat kepada peluang besar ini, sekali lagi saya menggalakkan masyarakat mengambil langkah proaktif melibatkan diri dalam bidang yang mendatangkan keuntungan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Karnival Mini Mega Sales Selangor dan Jelajah Kepenggunaan Peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2016.

Majlis disempurnakan dengan kehadiran Yang Di Pertua MPSJ, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ketua Penolong Pegawai Daerah, Nasir Mamat.

Antara program disediakan Kerajaan Negeri adalah program Mikrokredit Bersepadu iaitu Program HIJRAH Selangor.

“Ia juga merupakan Projek Penyelidikan Tindakan (Action Research Project) bertujuan melebarkan golongan kelas menengah sepertimana divisikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.

EZY