Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM11 juta Projek Tebatan Banjir Sungai Aur Fasa 5

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 NOV: Sejumlah RM11 juta diperuntuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi Projek Tebatan Banjir Sungai Aur Fasa 5 dalam Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11).

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia bagi mengatasi masalah banjir di kawasan tadahan Sungai Aur seperti Bandar Puteri dan Taman Sentosa.

Katanya, projek berkenaan menyediakan infrastruktur saliran utama bagi menyalurkan air banjir di kawasan sekitar.

“Sistem saliran utama yang tidak sempurna dan tidak mencukupi menyebabkan kejadian limpahan air banjir daripada sistem saliran sedia ada termasuk kolam dibina pemaju.

“Kolam takungan dibina pemaju itu dilihat tidak mampu menampung akibat saluran kolam itu ke sistem saliran utama tidak dinaik taraf sehingga ke Sungai Aur, seterusnya menyebabkan limpahan air banjir,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau merujuk soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie berhubung aduan banjir di Bandar Puteri walaupun sudah ada kolam tadahan dibuat di Bandar Botanik.

Zaidy berkata, keluasan kolam takungan di Bandar Botanik itu ialah 54,784 meter persegi dengan kapasiti 164,352 meter padu.

Katanya, ia juga mempunyai kedalaman purata tiga meter sahaja berdasarkan cadangan reka bentuk dan pelan pra hitungan selepas siap pembinaan.

“Kolam itu dilihat cetek kerana tadahan paras air kekal satu meter yang dikawal oleh struktur saluran keluar kolam berkenaan.

“Oleh demikian, ia hanya dapat menampung air banjir yang disalurkan ke kolam takungan banjir untuk ketinggian dua meter sahaja,” katanya.

EZY