Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rundingan ambil alih SPLASH dilanjutkan enam bulan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan melantik penilai bebas antarabangsa bagi menentukan nilai yang perlu dibayar untuk mengambil alih saham Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Persekutuan dalam sepucuk surat bertarikh 7 Oktober lalu turut meminta supaya rundingan pengambilalihan itu dilanjutkan enam bulan lagi.

“Kerajaan Negeri ambil tindakan sama setahun lalu dan lebih awal melantik penilai bebas bagi menentukan harga yang sewajarnya dibayar.

“Sekarang disebabkan Kerajaan Persekutuan juga melantik penilai bebas, kita mendukung usaha itu kerana ia telus dan terbuka untuk semua pihak bersetuju dengan satu angka,” katanya kepada pemberita di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, rundingan harga pengambilalihan SPLASH masih belum diputuskan, sekali gus menolak dakwaan ditimbulkan sebelum ini.

“Kita masih lagi berbincang, malahan kabinet sendiri meminta kita lanjutkan lagi enam bulan untuk membolehkan Kerajaan Persekutuan melantik satu penilai antarabangsa.

“Saya masih berunding dan sebab itu kedua-dua pihak melantik penilai bebas untuk menentukan harga yang adil dan terbaik untuk semua,” katanya.

-AA-