Categories
SELANGOR

Selangor sedia kaji Skim Bantuan Am

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri akan mengkaji kenaikan Skim Bantuan Am dalam tempoh terdekat ekoran keperluan mendesak.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, skim terbabit akan diteliti semula dari segi mekanisme pelaksanaan supaya agihan dapat disalurkan secara adil.

“Ada syor untuk dinaikan mengikut kategori kawasan bandar dan luar bandar. Namun, di Selangor mungkin tidak sesuai dilaksanakan kerana ketika ini, luar bandar dan bandar taraf hidup sama rata.

“Setakat ini, bagi Bantuan AM (BA), Kerajaan Negeri memberikan RM100 hingga RM175 kepada golongan memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah skim bantuan persekutuan lain.

“Kerajaan Negeri sedar akan keperluan mendesak ini, jadi kenaikan skim ini akan dikaji dengan segera,” katanya di Sidang Dewan Negeri.

daroyahTerdahulu, Kerajaan Negeri ketika ini sedang mengkaji kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) penduduk negeri bagi merealisasikan skim baru itu.

Katanya, PGK peringkat Nasional bagi tahun 2012 bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan untuk kategori miskin adalah RM830 seisi rumah, manakala miskin tegar pula RM520 seisi rumah.

Bagaimanapun, pada 2009, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju dan memutuskan supaya PGK Selangor dinaikkan ke paras realistik dan bertanggungjawab iaitu RM1,500.

Pendefinisian kemiskinan dalam konteks Selangor itu dijangka dikemas kini secara lebih tepat dan holistik berdasarkan hasil perangkaan umum berkaitan kemiskinan bagi penduduk dan penetapan indeks PGK terkini negeri melalui Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum.

Ia juga berupaya mengenalpasti, merangka serta menentukan hala tuju, strategi, dasar baru dan bajet yang lebih komprehensif bagi membasmi kemiskinan secara total juga efektif.

Manakala, bagi Bantuan Latihan Perantis (BLP) diberikan kepada anak penerima bantuan bulanan jabatan, bekas pelatih dari institusi kebajikan dan kes seliaan akhlak sebanyak RM250.

Selain itu, bagi Bantuan Bencana pula, RM5,000 (maksimum) dan bantuan Pengurusan Penyediaan Makanan semasa bencana bagi taksiran mengikut kemusnahan harta benda dan tempoh berada di pusat pemindahan.

-nR-