Categories
SELANGOR

Sewa atas sewa tidak adil, salahi peraturan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri tidak membenarkan penyewa “sewa atas sewa” memintas giliran mereka yang berada di dalam senarai menunggu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, hal itu kerana tidak adil untuk memberi peluang kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan walhal mereka sabar menunggu giliran mereka diabaikan.

Katanya, Kerajaan Negeri berpandangan tidak adil memindahkan kontrak sewaan kepada mereka memandangkan terdapat ramai menunggu untuk menyewa di Program Perumahan Rakyat Kos Rendah (PPR).

“Memang benar seperti laporan media bahawa Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) memberi notis keluar kepada penduduk PPR Kota Damansara yang menyewa dari penyewa sah atau mereka “sewa atas sewa”.

“Terdapat pihak menggesa agar mereka ini dibenarkan menyambung sewaan dari penyewa sah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dibangkitkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN), Kampung Tunku, Lau Weng San.

Iskandar berkata tindakan menyewakan kediaman kepada pihak ketiga dan “sewa atas sewa” menyalahi peraturan sewaan di PPR itu dan PPR-PPR lain di Selangor.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri cuba membantu mereka diberikan notis keluar mendapatkan kediaman lain tetapi kekosongan di PPR-PPR lain adalah amat terhad.

EZY