Categories
NASIONAL

Tun M: Jatuhkan PM atau Presiden amalan demokrasi perkara biasa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Tindakan menjatuhkan Perdana Menteri atau Presiden di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi adalah perkara biasa, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dalam blognya, Chedet berkata, tindakan serupa dilakukan banyak negara termasuk tindakan menjatuhkan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Badawi apabila melibatkan desakan Najib walaupun Abdullah baru sahaja menang Pilihan Raya Umum ke-12 dengan keputusan lebih baik daripada Najib sendiri.

“Najib dan konco-konconya kerap menuduh sebarang usaha menjatuh kerajaannya dipilih melalui pilihan raya bertentangan dengandemokrasi (tetapi) sebenar ialah dalam negara mengamal demokrasi tuduhan dan tindakan menjatuh Perdana Menteri atau Presiden perkara biasa.

“Di Australia Perdana Menteri Tony Abbott dijatuhkan oleh partinya sendiri dengan memilih pemimpin lain, Malcolm Turnbull untuk jadi Perdana Menteri,” kata Dr Mahathir dalam catatan bertajuk ‘Najib Kleptokrasi’ itu.

Jelasnya, selain itu, di Brazil pula Presiden yang dipilih secara demokratik juga digantung jawatan untuk membolehkan siasatan dibuat ke atas tuduhan terlibat dengan rasuah.

Sementara itu, katanya, di Korea Selatan pula rakyat mengadakan demonstrasi besar-besaran mendesak Presiden Park Geun-hye meletak jawatan kerana membenarkan rakannya terlibat dengan urusan Kerajaan.

Bagaimanapun katanya, ruang demokratik untuk menjatuhkan Najib ditutup dengan cara paling tidak demokratik walaupun gelombang rakyat mendesak Najib berundur meningkat.

“Apabila laporan dibuat kepada polis yang ia menghilangkan beribu juta duit kerajaan, orang buat laporan itu dan peguamnya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan tidak munasabah. Kononnya mereka mengancam keselamatan dan ekonomi negara,” katanya.

=EZY=