Categories
SELANGOR

Persekutuan perlu tanggung kos Jambatan ketiga Klang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mengambilalih projek pembinaan jambatan ketiga di Klang daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tertangguh berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) di Selangor pada 2008.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri mengambil tanggungjawab itu kerana menyedari ia amat penting bagi keperluan penduduk dan orang ramai di bandar DiRaja berkenaan.

“Kita terpaksa menggunakan kedudukan kewangan negeri yang kukuh bagi menyiapkan projek ini demi kepentingan awam.

“Ia kerana kesesakan lalu lintas pada waktu puncak di bandar itu amat serius dan mereka memerlukan sebuah jambatan baru,” katanya kepada media di sini, hari ini.

pc-11-of-19Mengulas lanjut, beliau berkata, biarpun projek itu diambilalih Kerajaan Negeri, perbincangan mengenai kos pembinaannya pernah dibincangkan bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, ketika peringkat awal dirinya dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar.

“Saya meminta untuk dipertimbangkan apa jua kos ditanggung Kerajaan Negeri perlu dibayar semula Kerajaan Persekutuan.

“Namun, saya belum mendapat apa-apa maklum balas,” katanya.

Dilaporkan, pembinaan jambatan ketiga itu akan dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dengan majlis pelancaran projek turut dijalankan ketika Dato’ Seri S Samy Vellu mengetuai Kementerian Kerja Raya.

Bagaimanapun, projek terbabit tertangguh apabila pentadbiran Kerajaan Negeri bertukar tangan.

-nR-