Categories
NASIONAL

Turun Bersih 5 pada 19 Nov desak perubahan lebih baik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 NOV: Rakyat diseru turut bersama menyertai perhimpunan aman Bersih 5 di Dataran Merdeka pada 19 November ini bagi menuntut demokrasi yang adil dan saksama sekaligus mendesak kepada perubahan yang lebih baik.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) itu diadakan bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

“Ini adalah adat perjuangan yang menjadi tanggungjawab kita untuk membina suatu yang lebih baik, lebih saksama dan lebih mulia.

“Semua ini melihat kepada semangat kemerdekaan sebuah negara demokratik dengan Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan akan tercapai,” kata Dr Wan Azizah dalam ucapannya di Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC di sini, semalam.

Jelasnya, perhimpunan ini juga merupakan plarform bagi membantah monopoli dan kenaikan harga barang, menentang penyalahgunaan kuasa dan kezaliman di mana selaras dengan hak setiap rakyat yang merdeka.

Katanya, perhimpunan aman juga merupakan sebahagian daripada perjuangan reformasi yang bersifat menyeluruh merangkumi segala aspek ekonomi, pendidikan, sosial, serta politik dan semestinya demokrasi itu sendiri.

Tambahnya, perjuangan ini juga sudah mencapai tahap membawa pihak yang dahulunya merupakan musuh politik tetapi hari ini berdiri sebaris untuk berjuang bersama-sama menumbangkan kezaliman.

“Kerana matlamat sama, ia merapatkan hubungan kita yang dulunya terpisah. Dengan keterpisahan itu, mengenalkan sesama kita makna perjuangan rakyat, kebajikan rakyat, dan kemajuan demi rakyat.

“Bak kata, pepatah melayu, ‘sepakat membawa berkat’ dan ‘yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan,” katanya.

EZY