Categories
NASIONAL

Wan Azizah: Demokrat dipenjara, sang kleptokrat bermaharajalela

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 NOV : Lebih ramai lagi aktivis dan pimpinan pembangkang bakal ditahan selepas penganjuran perhimpunan aman Bersih 5, 19 November lalu, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mengeluarkan senarai panjang nama individu terdiri daripada aktivis, mahasiswa dan ahli-ahli politik bakal ditahan.

“Para demostran berhimpun dan berarak secara aman walaupun keselamatan mereka diancam kumpulan baju merah dan perjalanan mereka disekat pihak berkuasa.

“Sekali lagi pemerintah gagal menghormati hak bersuara dan berhimpun dengan aman seperti termaktub dalam undang-undang dan perlembagaan.

“Begitulah keadaan di negara kita ini, para demokrat dipenjara, sang kleptokrat bermaharajalela,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, polis menahan beberapa individu termasuklah Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menjelang berlangsungnya perhimpunan tersebut.

Selain Maria, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin turut ditahan sehari sebelum perhimpunan aman berlangsung.

Zuraida dan Tian dibebaskan dengan jaminan polis 21 November lalu, bagaimanapun Maria masih ditahan dalam tempoh maksimum 28 hari dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Buang ketakutan, satukan tenaga, Malaysia baru!

OLEH: MARIA CHIN ABDULLAH

Tiga hari sahaja lagi menuju perhimpunan Bersih yang kelima dalam sejarah panjang perjuangan menuntut pilihan raya yang adil, penambahbaikan institusi dan usaha memperbaiki negara yang sudah lama rosak.

Masuk kali kelima rakyat Malaysia bakal berhimpun Sabtu ini untuk mendesak perubahan melalui jalan yang dibenarkan dalam undang-undang, dengan membangkitkan kesedaran orang ramai bahawa negara tidak boleh ditadbir pencuri, perompak dan penyamun.

Perhimpunan Sabtu ini bukanlah perhimpunan yang menjanjikan huru-hara dan boleh menggulingkan kerajaan dalam masa yang begitu singkat.

Ia bertujuan mendidik dan menyampaikan mesej perubahan kepada seluruh pelosok negara.

Itu sebabnya kenapa kita adakan konvoi menelusuri segenap ceruk kampung dan pekan, agar rakyat Malaysia tahu dan tidak terus tertipu.
Perhimpunan Sabtu ini bukanlah seperti sebuah perlawanan bola sepak antara pasukan merah melawan pasukan kuning.

Samseng-samseng UMNO memang dijangka akan menimbulkan kekacauan dan mengganggu perjalanan perhimpunan Bersih, namun sebenarnya mereka sendiri pun tidak tahu apa yang mereka perjuangkan.

Ketua mereka, Datuk Seri Jamal Yunos, tempoh hari telah terbukti tidaklah kebal pun sebenarnya.

Kita telah melihat bagaimana beliau meronta-ronta dan menjerit-jerit mahu melarikan diri dari kekecohan yang berlaku di Ampang. Seluruh negara telah ketawa melihat gelagat Jamal dan juak-juaknya.

Namun Jamal bukan musuh kita. Kita tidak turun ke jalan raya untuk melawan Jamal dan samseng-samseng UMNO ini. Kita bukannya berhimpun untuk menunjukkan kekuatan atau bertanding siapa lebih ramai.

Kita turun ke jalan raya kerana berdiam diri berhadapan rasuah dan salahguna kuasa bukan lagi satu pilihan.

Kita berhimpun kerana kita punya hak untuk membantah rasuah dan salahguna kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal mega yang telah memberi gelaran ‘kleptokrasi’ kepada negara.

Jamal hanya menjadi galang ganti agar kita lupa dan tidak memberi tumpuan kepada musuh nombor satu rakyat Malaysia masa kini iaitu tidak lain Perdana Menteri sendiri.

Kita harus terus memberi fokus kepada skandal mega melibatkan Najib Razak, dan memberi fokus kepada tuntutan-tuntutan Bersih, yang tidak lain hanya mahukan sebuah Malaysia yang lebih baik untuk generasi anak cucu.

Kita berhimpun Sabtu ini untuk sebuah ‘Malaysia Baru’. Kita tidak perlu takut untuk menuntut perubahan, untuk memperbaiki negara yang kian rosak. Kita tidak perlu takut dengan Jamal dan samseng-samsengnya.

Kita pasti pihak polis akan memastikan keamanan dan keteraturan perhimpunan Bersih buat kali kelima ini.

Tahun lalu kita telah menyaksikan bagaimana pihak polis begitu cekap sekali memastikan keamanan protes selama 34 jam, di mana kumpulan samseng baju merah yang diberi makan oleh UMNO ini hanya muncul pada saat-saat akhir.

Kita justeru berharap pihak polis akan bersiap sedia untuk berdepan provokasi jahat oleh juak-juak Jamal yang akan terus cuba mengalihkan fokus perhimpunan Bersih daripada tujuan-tujuan yang telah kita nyatakan.

Sabtu ini saya harap rakyat Malaysia akan membuang jauh rasa takut dan resah mereka, dan turun beramai-ramai bagi menuntut sebuah Malaysia yang lebih baik.

Turun beramai-ramai. Satukan Tenaga. Malaysia Baru.

* MARIA CHIN ABDULLAH adalah Pengerusi BERSIH 2.0

Categories
NASIONAL

Turun Bersih 5 pada 19 Nov desak perubahan lebih baik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 NOV: Rakyat diseru turut bersama menyertai perhimpunan aman Bersih 5 di Dataran Merdeka pada 19 November ini bagi menuntut demokrasi yang adil dan saksama sekaligus mendesak kepada perubahan yang lebih baik.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) itu diadakan bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

“Ini adalah adat perjuangan yang menjadi tanggungjawab kita untuk membina suatu yang lebih baik, lebih saksama dan lebih mulia.

“Semua ini melihat kepada semangat kemerdekaan sebuah negara demokratik dengan Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan akan tercapai,” kata Dr Wan Azizah dalam ucapannya di Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC di sini, semalam.

Jelasnya, perhimpunan ini juga merupakan plarform bagi membantah monopoli dan kenaikan harga barang, menentang penyalahgunaan kuasa dan kezaliman di mana selaras dengan hak setiap rakyat yang merdeka.

Katanya, perhimpunan aman juga merupakan sebahagian daripada perjuangan reformasi yang bersifat menyeluruh merangkumi segala aspek ekonomi, pendidikan, sosial, serta politik dan semestinya demokrasi itu sendiri.

Tambahnya, perjuangan ini juga sudah mencapai tahap membawa pihak yang dahulunya merupakan musuh politik tetapi hari ini berdiri sebaris untuk berjuang bersama-sama menumbangkan kezaliman.

“Kerana matlamat sama, ia merapatkan hubungan kita yang dulunya terpisah. Dengan keterpisahan itu, mengenalkan sesama kita makna perjuangan rakyat, kebajikan rakyat, dan kemajuan demi rakyat.

“Bak kata, pepatah melayu, ‘sepakat membawa berkat’ dan ‘yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan,” katanya.

EZY

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Diancam bunuh himpunan aman Bersih 5 diteruskan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 19 OKT : Bersih 2.0 tetap meneruskan penganjuran himpunan aman Bersih 5 meskipun pengerusinya, Maria Chin Abdullah menerima ugutan bunuh ala militan IS.

Bercakap pada sidang medianya, Maria berkata tuntutan Bersih 5 wajar diteruskan demi kelangsungan dan manfaat masyarakat Malaysia.

“Perjuangan untuk kebaikan (rakyat) tetap diteruskan, kami tidak akan ditakutkan dengan ugutan keganasan dan akan meneruskan konvoi Bersih dan himpunan Bersih 19 November ini.

“Tuntutan kami masih kukuh,” katanya selepas hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis di IPD Petaling Jaya, petang semalam.

Hadir sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

bersih5Sebelum ini, media mendedahkan Maria menerima ancaman bunuh menerusi pesanan aplikasi Whatsapp dari nombor tidak dikenali.

Mesej berkenaan turut mendedahkan gambar Maria bersama anggota sekretariat Bersih, Mandeep Singh dan bekas Pengerusi gabungan itu, Ambiga Sreenevasan yang diacu pisau di leher, sebagaimana dilakukan militan IS.

Ketiga-tiga mereka turut menerima ancaman bunuh daripada individu tidak bertangungjawab, menerusi mesej tersebut.

Lebih memeranjatkan Maria mendedahkan, tiga anaknya turut menerima ugutan sama apabila gambar pada kad pengenalan mereka dilampirkan dalam salinan mesej berkenaan.

“Mereka menggunakan wajah tiga anak saya dengan ugutan bunuh itu dan ini jelas menampakkan langkah terdesak mereka mengeluarkan ancaman ini,” katanya.

Bagaimanapun, Maria enggan mendedahkan butiran lanjut keratan gambar yang memaparkan wajah ketiga-tiga anaknya.

Sementara itu, mengulas laporan polis itu Ambiga yang juga Peguam berkata, pihak polis mempunyai pilihan perundangan untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Kami tidak dimaklumkan siasatan dibuat di bawah akta tertentu. Namun, polis mempunyai pilihan menjalankan siasatan tanpa melindungi mana-mana individu atau pihak berkepentingan,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Tindakan samseng baju Merah dikecam

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 9 OKT: KEADILAN Cabang Sabak Bernam mengutuk sekerasnya perbuatan liar sekumpulan peserta Gerakan Baju Merah menyerang salah seorang peserta konvoi BERSIH 5.

Menurut kenyataan KEADILAN Sabak Bernam, perbuatan mereka menunjukkan bahawa mereka sanggup menggunakan apa jua cara untuk menggagalkan konvoi Bersih 5.

“Cabang Sabak Bernam mengutuk sekeras kerasnya perbuatan samseng budak suruhan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar.

“Sebagai seorang ketua beliau seharusnya menangani isu Bersih 5 dengan memberi penerangan Kepada masyarakat dan bukannya bertindak liar dan mengajar remaja remaja kita menjadi samseng,” katanya dalam kenyataan.

Katanya ia amat berbeza dengan yang hadir untuk program Bersih 5 semalam apabila sukarela tanpa mengharapkan sebarang ganjaran tetapi dengan niat dan tekad demi menyelamatkan negara dari terus dijarah pemimpin korup.

cuoukonuaaa0hpj“Cabang berharap dan meminta Ketua Umno Bahagian Sungai Besar agar gunakan duit yang ada itu untuk tujuan yang lebih murni.

“Kita di dunia ini hanya untuk sementara dan sehingga itu buatlah sesuatu yang rakyat akan sebut nama dan bukannya mencaci dimana seluruh keluarga terpaksa tanggung malunya,” katanya.

Difahamkan, kekecohan mula meletus apabila dua penyokong baju kuning yang menunggang motosikal beredar dari stadium selepas tamat perhimpunan itu terus menuju ke tempat berkumpul baju merah di persimpangan lampu isyarat jalan masuk ke Kampung Batu Satu Sepintas.

Tindakan itu mengundang kemarahan baju merah lalu bertindak menghalang dua lelaki melalui jalan terbabit hingga mengakibatkan seorang mangsa terjatuh daripada motosikal.

Polis menjelaskan bahawa lelaki diserang itu mahu pulang ke rumah dan mengambil laluan diduduki kumpulan Baju Merah.

EZY

Categories
NASIONAL

Baju Merah serang peserta konvoi BERSIH 5

SHAH ALAM 8 OKT: Seorang peserta konvoi BERSIH 5 telah diserang oleh sekumpulan peserta Gerakan Baju Merah di Sabak Bernam.

Malaysiakini melaporkan beliau yang menunggang motosikal berkuasa tinggi memakai baju BERSIH 5 telah dikepung oleh kumpulan tersebut yang kemudiannya bertindak ganas.

Mereka pada mulanya menolak motosikal lelaki itu dan kemudiannya seorang peserta Baju Merah menendang lalu mereka melemparkan objek seperti botol dan telur ayam ke arahnya.

Polis menjelaskan bahawa lelaki yang diserang itu mahu pulang ke rumah dan telah mengambil laluan yang diduduki oleh kumpulan Baju Merah.

Sementara itu BERSIH dalam kenyataan medianya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas Baju Merah itu yang dianggap serangan fizikal yang merupakan suatu jenayah berat.

“Pihak polis perlu mengambil tindakan susulan, menahan, mendakwa penyerang tersebut. Turut hadir pada kejadian tersebut adalah Jamal Yunos, Ketua Cawangan UMNO Sungai Besar.

“Kami telah menghubungi peserta yang diserang tersebut. Beliau dalam keadaan baik dan tiada kecederaan berat,” katanya.

merah

EZY

Categories
NASIONAL

Konvoi Bersih 5 dapat kerjasama polis

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 27 SEPT: Konvoi Bersih 5 yang diadakan sebelum menjelang perhimpunan Bersih 5 pada 19 November mendapat kerjasama polis.

Jawatankuasa Konvoi Bersih 5 bagi peringkat Timur, Muhammad Safwan Anang, berkata malah polis turut memberi cadangan laluan difikirkan sesuai.

“Kami mendapat kerjasama baik polis dan sebelum ini juga satu perbincangan dengan polis Kota Bahru diadakan.

“Oleh kerana peringkat Kota Bahru melibatkan konvoi berbasikal di tengah bandar, maka Ketua Polis Daerah Kota Bahru mencadangkan perubahan laluan.

BERSIH“Maka ada sedikit perubahan laluan tetapi tempat pelancarannya dan laluan lain tetap sama,” kata Muhammad Safwan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Bersih 2.0 di Pejabat Bersih 2.0 di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

Jelasnya, ini membuktikan perhimpunan anjuran Bersih 2.0 semakin diterima pihak berkuasa itu.

Timbalan Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari, berkata semua penyelaras mematuhi peruntukan ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman dengan notis 10 hari dikemukakan bagi kawasan pelepasan konvoi.

“Setiap jawatankuasa juga menguruskan keselamatan, bantuan perubatan dan bantuan guaman untuk peserta yang mengambil bahagian,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 sedia lancar ‘roadshow’ kebangsaan terbesar seluruh negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 27 SEPT: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersedia melancarkan ‘roadshow’ terbesarnya dengan Konvoi Bersih 5 yang diadakan serentak di seluruh negara.

Timbalan Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari, berkata Konvoi 5.0 bermula pada 1 Oktober itu berlangsung selama tujuh minggu sebelum tiba kemuncaknya 19 November semasa Perhimpunan Aman Bersih 5 diadakan di ibu kota Kuala Lumpur.

“Objektif Konvoi Bersih 5 untuk memulakan komunikasi nasional dan meningkatkan kesedaran tentang tuntutan Bersih mengenai reformasi institusi dan keparahan krisis 1MDB,” kata Shahrul Aman.

Beliau berkata demikian pada sidang media Bersih 2.0 di Pejabat Bersih 2.0 di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

BERSIHJelasnya, perjalanan Konvoi Bersih 5 dijangka meliputi 246 bandar, pekan dan kampung di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, antara bandar dan lokasi terlibat dengan acara pelepasan pada jam 10.00 pagi hari pertama adalah di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan berakhir di Kulai.

Manakala bagi kawasan utara pula acara pelancaran diadakan di Pasar Borong, Kangar sebelum berakhir di Alor Setar, Jeti Lumut dan berakhir Teluk Intan (barat), Padang Bank Kota Bahru, Kelantan dan juga berakhir di Bandar Kota Bahru.

Bagi peringkat Kota Bahru turut melibatkan acara konvoi berbasikal.

Sementara di Sarawak pelepasan konvoi dibuat di kawasan pakir persendirian berhadapan Park City Everly Hotel berakhir di Bintulu.

Manakala di Sabah acara pelepasan diadakan di Bandar Letat, Sandakan dan berakhir di Semporna.

Katanya lagi, konvoi itu akan memyambung jelajahnya pada hujung minggu berikutnya sehingga memasuki kawasan Lembah Klang yang dijangka pada 5 hingga 18 November.

Katanya lagi, setiap kawasan akan diterajui Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0 dan dalan peringkat pelarasan oleh jawatankuasa tempatan.

Ujarnya, ahli konvoi mengadakan aktiviti penerangan kepada masyarakat tempatan sebelum meneruskan konvoi pada hujung minggu berikutnya.

Orang ramai yang ingin menyertai dan mengetahui lanjut laluan dan persinggahan boleh semak di laman web www.bersih.org/konvoi.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Konvoi BERSIH di seluruh negara

OLEH: BERSIH 2.0

Pada 1 Oktober 2016, BERSIH 2.0 akan melancarkan Konvoi Bersih di seluruh negara. Pelancaran tersebut akan berlangsung secara serentak di 6 kawasan seperti berikut:

1. Utara Semenanjung (Kangar, Perlis)
2. Selatan Semenanjung (Johor Bahru, Johor)
3. Pantai Timur (Kota Bahru, Kelantan)
4. Pantai Barat (Lumut, Perak)
5. Sabah (Sandakan)
6. Sarawak (Miri)

Objektif Konvoi Bersih adalah untuk meningkat kesedaran tentang tuntutan Bersih mengenai reformasi institusi dan keparahan krisis 1MDB.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu keluar dan memulakan perbualan nasional tentang isu-isu ini kerana masa depan bersama kami akan terjejas.

Konvoi Bersih akan bergerak menuju ke Kuala Lumpur, dan akan mengambil masa selama tujuh minggu untuk berakhir. Obor BERSIH akan diserahkan dari bandar ke bandar, kampung ke kampung secara berganti-ganti (relay).

14354902_1182494391789309_5776214859762952050_nPelbagai aktiviti akan dijalankan seperti pengedaran risalah, ceramah, dan perbualan dengan penduduk tempatan.

Konvoi BERSIH dianggarkan akan meliputi 246 bandar, pekan, dan kampung di seluruh semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak.

Konvoi BERSIH akan berkemuncak pada perhimpunan BERSIH5 pada 19 November 2016 di Kuala Lumpur.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN sokong BERSIH 5 tuntut pilihan raya adil

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 SEPT : Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengalu-alukan penganjuran BERSIH 5 yang bakal diadakan 19 November ini.

Beliau berkata, ketetapan itu dibuat bagi memastikan prinsip perjuangan menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil dilaksanakan secara telus di negara ini.

“Saya mengalu-alukan pengumuman BERSIH untuk berhimpun pada 19 November depan bagi meneruskan perjuangan untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

“Ayuh berikan sokongan penuh anda kepada himpunan ini yang bertemakan “Satukan Tenaga, Malaysia Baru!” katanya di Facebook.

Bersih dalam sidang medianya hari ini mengumumkan 19 November ini sebagai himpunan menuntut pentadbiran negara yang lebih telus, berintergriti dan bebas rasuah.

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah, berkata beberapa acara konvoi seluruh negara bakal dianjurkan menjelang himpunan itu, bermula 1 Oktober.

“BERSIH 2.0 percaya tidak mengadakan protes bukanlah satu pilihan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, berkata KEADILAN juga bakal menggerakkan seluruh pimpinan KEADILAN negeri menyokong gerakan konvoi BERSIH di setiap negeri.

“KEADILAN mempunyai wakil rakyat di setiap negeri terdiri daripada Ahli Parlimen atau Adun.

“Jadi salah satu kemungkinan, kita mengarahkan pimpinan kita menerusi Majlis Pimpinan Negeri menggerakkan anggota turun beramai-ramai,” katanya kepada SelangorKini.

EZY

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bersih 5.0: Bantah kepincangan sistem pilihan raya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 SEPT: Perhimpunan Bersih 5.0 yang dijangka pada November depan boleh dijadikan penanda aras bantahan rakyat terhadap kepincangan sistem pilihan raya di negara ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, rakyat perlu menggunakan kesempatan itu, lebih-lebih lagi negara kini berdepan pelbagai kemelut juga skandal.

“Saya menyokong Bersih 5 diadakan pada November ini untuk memberi kesedaran kepada rakyat berkenaan kepincangan sistem pilihan raya yang sepatutnya bersih dan adil tetapi dinodai pelbagai penyelewengan.

“Ia termasuk memindah pengundi secara haram sekali gus bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Negara,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Suee Lim berkata, perhimpunan itu turut dijadikan medium bagi rakyat terus menyatakan bantahan terhadap kepincangan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah mengumumkan himpunan Bersih 5.0 akan diadakan pada November depan.

Bagaimanapun, katanya, tarikh himpunan itu akan diumumkan kemudian.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

BERSIH 5.0 dialu-alukan, satukan rakyat tolak kerajaan korup

OLEH LIZAWATI MADFA

KAJANG, 23 JULAI: Selangor mengalu-alukan penganjuran himpunan Bersih 5.0 dalam masa terdekat seperti mana dirancang Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ‘sekarang’ merupakan masa tepat menyatukan rakyat menentang kerajaan korup.

“Kita bersedia berbincang mengenai cadangan perhimpunan kerana sudah tiba masa menggerak dan menyatukan rakyat.

maria-chin“Saya pasti Bersih akan berhubung dengan pihak sekretariat untuk perbincangan selanjutnya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah mendedahkan BERSIH 5.0 sedang dirancang berikutan saman sivil berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di Amerika Syarikat.

Maria turut mengalukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai pehimpunan itu.

Pada 21 Julai lalu, Mahathir mencadangkan perhimpunan aman diadakan untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

EZY