Categories
SELANGOR

UTD berjaya atasi kes demam denggi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Pelaksanaan Unit Tindakan Denggi (UTD) menampakkan kesan apabila sebuah kawasan hotspot selama 204 hari di daerah Petaling berjaya mencapai tahap kes sifar denggi.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata ia adalah memberangsangkan kerana kawasan Pusat Komersil Seksyen 7, Shah Alam pernah mencatat sebanyak 249 kes berdaftar sebelum ini.

“UTD mula ditempatkan di lokaliti itu bermula 13 Jun sehingga 30 September dan dalam tempoh itu telah berjaya mengatasi dua kejadian wabak serta memastikan ia menjadi sifar denggi.

“Wabak pertama mengumpulkan 249 kes bermula 15 Disember tahun lalu dan berakhir 6 Julai lepas manakala wabak kedua dikenal pasti pada 10 Ogos dan berakhir dua minggu kemudian pada 22 Ogos lalu,” katanya.

daroyahBeliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam – BN) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UTD adalah salah satu langkah proaktif diwujudkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan diperluaskan ke semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bagi mengawal peningkatan kes demam denggi.

Katanya, ia diwujudkan apabila satu lokaliti mempunyai 100 kes atau tempoh wabak melebihi 100 hari.

“Tangggungjawab UTD adalah bagi memastikan lokaliti dipilih terkeluar daripada senarai hotspot dengan melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan dalam tempoh tiga bulan.

“Ia berperanan untuk mencari punca utama menyumbang kepada peningkatan kes denggi dan menyelesaikan masalah itu.

“Selain itu UTD akan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk memastikan tiada pembiakan aedes di dalam rumah serta memberi pendidikan asas mengenai tempat berpotensi untuk membiak aedes,” katanya.

-nR-