Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

‘Pendedahan tiada rasuah seks Selangor, saya tidak terkejut’ – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tidak terkejut dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendapati tiada bukti wujudnya perkhidmatan seks dan rasuah kewangan melibatkan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, sejak dari awal lagi pentadbiran negeri terus kekal mengamalkan prinsip ketelusan untuk memegang amanah rakyat dan mentadbir Selangor secara adil.

“Saya yakin daripada awal lagi bahawa pentadbiran Kerajaan Neger berpegang kepada prinsip nilai dan ketelusan.

“Pengumuman dibuat SPRM itu membuktikan bahawa pentadbiran Selangor sentiasa menekankan prinsip murni dalam menjalankan tugas tanggungjawab.

mb-dun“Saya bersyukur dengan pengumuman ini sekali gus membersihkan nama pimpinan dan pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini ketika ditemui di Lobi Dewan Negeri (DNS), di sini, petang ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim ketika sesi pergulungan perbahasan Bajet 2016 di Parlimen mendedahkan bahawa tiada sebarang bukti berhubung dakwaan itu sebelum ini.

Razali berkata, pihaknya hanya menerima dakwaan dan siasatan mengenainya telah dibuat dan tiada sebarang bukti ditemui.

Sementara itu, Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafie berkata individu yang melemparkan dakwaan tersebut perlu membuat permohonan maaf bagi membersihkan imej pentadbiran negeri.

“Rentetan daripada penjelasan tersebut, individu yang membuat tuduhan ini perlu membuat permohonan maaf kerana tuduhan ini bukan sahaja mencemarkan imej individu terbabit, tetapi pentadbiran Kerajaan Negeri sendiri,” katanya.

-nR-