Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah : Pendakwaan Rafizi, ‘hari kesedihan’ demokrasi Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa mendedahkan laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau membuat gesaan tersebut berikutan keputusan mahkamah sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli di bawah OSA.

“Keengganan Putrajaya untuk mengeluarkan laporan penuh mengenai 1MDB daripada OSA hanya akan mengukuhkan persepsi sebuah kerajaan kleptokrat yang tidak mahu kebenaran diketahui umum,” katanya dalam kenyataan.

wan-azizahBeliau berkata, klasifikasi laporan tersebut di bawah OSA juga menghalang Parlimen untuk membincangkan dapatan dan syor serta mengenalpasti bagaimana sejumlah wang sangat besar berjaya diseleweng beberapa pihak.

Terdahulu, Rafizi didakwa memililiki 98 mukasurat laporan ketua audit negara tanpa kebenaran yang melanggar Seksyen 8 (1) (c) (iii) OSA.

Pendedahan dibuat Ahli Parlimen Pandan itu dalam satu sidang medianya di Lobi Parlimen.

Mahkamah Sesyen bagaimanapun menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan daripada pihak pembelaan.

bebas-rafiziMengulas lanjut Wan Azizah berkata, tidak seperti di Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland, siasatan dan tindakan mahkamah telahpun diambil terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan langsung dengan penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB.

Bagaimanapun, sebaliknya berlaku di Malaysia apabila individu yang mendedahkan kebenaran dihadapkan ke mahkamah kerana mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.

“Ini merupakan satu hari yang cukup sedih buat demokrasi Malaysia, apabila seorang demokrat telah dihadapkan ke mahkamah kerana berani bersuara mempertahankan hak dan kepentingan rakyat,” katanya.

-nR-