Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

42 pemohon Rumah Selangorku Antara Gapi terima surat tawaran

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 29 DIS: Seramai 42 pemohon Rumah Selangorku Idaman PKNS menerima surat tawaran projek berkenaan, hari ini.

Pengurus Perhubungan Awam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ishak Hashim berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 80 bakal pemilik projek rumah mampu milik di Antara Gapi itu.

“Semua 42 pemohon ini melalui proses saringan awal Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). PKNS hanya menerima senarai nama pemohon daripada LPHS yang diperakukan Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pembeli Rumah Mampu Milik,” katanya dalam kenyataan.

29-12-rumah-pkns-2Projek Rumah Selangorku Idaman PKNS Antara Gapi menawarkan 80 unit rumah teres dua tingkat yang dijual pada harga RM250,000 hingga RM293,500 dengan keluasan 1200 kaki persegi.

Ishak berkata, ia dibina berasaskan reka bentuk moden dengan persekitaran selesa dan mudah dihubungi menerusi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), laluan alternatif serta Stesen Komuter Serendah.

“Dengan kemudahan moden dan taman rekreasi, projek kediaman ini pastinya menjanjikan potensi pelaburan berganda,” katanya.

Projek dengan pegangan tanah berstatus pajakan 99 tahun itu juga terletak berdekatan dengan institusi pendidikan seperti Sekolah Antarabangsa Antara Gapi, Sekolah Agama Serendah Retail, Maktab Rendah Sains Mara Hulu Selangor dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Antara Gapi mula dimajukan pada 1997 dan merupakan salah satu pusat pertumbuhan baru dibangunkan PKNS.

Pusat pertumbuhan lain termasuk Petaling Jaya, Shah Alam, Kelana Jaya, Bandar Baru Bangi, Kota Damansara, Kota Puteri, Bandar Sultan Suleiman, Bernam Jaya dan Selangor Cyber Valley.

-NFN-