Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Azmin gembira Air Selangor gigih pastikan bekalan pulih 100%

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 DIS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merakamkan penghargaan kepada kakitangan Air Selangor yang gigih menyegerakan pemulihan bekalan air lebih awal.

Beliau turut melahirkan rasa gembira apabila bekalan air ke semua kawasan terjejas dapat disalurkan dengan pantas.

Katanya, pemulihan bekalan air ke semua kawasan yang terjejas diSelangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga hari berbanding jangkaan awal enam hari.

AZMIN“Berdasarkan laporan yang diterima setakat jam 7 pagi ini, dimaklumkan bahawa status pemulihan bekalan air ke semua kawasan yang terlibat selesai 100 peratus bagi Zon 1 dan 99.5 peratus bagi Zon 2.

“Saya merakamkan penghargaan kepada kakitangan Air Selangor yang berusaha gigih sepanjang waktu menyegerakan pemulihan bekalan air ke semua kawasan terjejas dengan pantas,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan bagi memastikan bekalan air bersih sentiasa mencukupi bagi pengguna di Lembah Klang.

“Keselesaan pengguna air adalah keutamaan Kerajaan Negeri khususnya sewaktu musim perayaan dan cuti sekolah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Natal dan Perayaan Solstis Musim Sejuk pada yang meraikan.

“Semoga sambutan kedua-dua perayaan ini merapatkan hubungan muhibbah sesama rakyat Selangor,” katanya.

-NFN-