Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Denggi: Kerajaan Negeri lulus peruntukan tambahan RM600,00

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 DIS: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan tambahan RM600,000 kepada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai usaha memerangi denggi hujung tahun ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, penambahan peruntukan itu akan digunakan khusus bagi mempergiatkan aktiviti kawalan dan pencegahan seperti ‘fogging’ serta ‘larvasiding’ melalui Pest Controller Operator (PCO) yang dilantik.

“Secara statistik, jumlah kumulatif Kes Daftar Denggi 2016 pada ME-50 yang berakhir pada 17 Disember lalu adalah 50,157 kes berbanding 60,711 untuk tempoh sama, pada 2015.

DENGGI-GRAFIK“Ini menunjukkan penurunan 10,554 kes atau penyusutan 17.4 peratus.

“Manakala, kadar kumulatif kematian pula menurun daripada 122 kematian pada 2015 kepada 77 kes sahaja tahun ini, sekali gus menunjukkan pengurangan 33.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Dr Daroyah berkata, Kerajaan Negeri tidak berdiam diri dan selesa walaupun Selangor berjaya mengawal wabak itu dengan mencatatkan kedua terendah iaitu 0.15 peratus berbanding negeri lain.

“Inisiatif penubuhan Unit Tindakan Khas Denggi (UTKD) memperlihatkan impak positif dalam usaha kita memerangi wabak dan membasmi lokaliti hotspot.

“UTKD ini akan ditempatkan khas di mana-mana lokaliti hotspot yang mempunyai tempoh wabak melebihi 100 hari.

“Tugas mereka khusus untuk memantau, membuat aktiviti kawalan dan pencegahan juga memberi bimbingan serta nasihat kepada penduduk demi memastikan persekitaran mereka bebas tempat pembiakan Aedes,” katanya.

Beliau berharap, tahun depan Selangor berjaya mencatatkan penurunan lebih banyak ekoran perlbagai perancangan yang dirangka menampakkan hasil memberangsangkan.

Untuk rekod, pola sepanjang 2014 dan 2015 menunjukkan terdapat tiga puncak kes denggi setiap tahun.

-NFN-