Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bukan lokasi tumpuan judi, MPK sangkal dakwaan tak berasas NGO

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyangkal dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan pihak berkuasa tempatan itu sebagai pusat tumpuan perjudian di Selangor.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan NGO terbabit, jumlahnya terlalu tinggi sedangkan MPK tidak pernah berkompromi dalam isu itu.

“MPK mengalu-alukan sebarang info berkaitan dakwaan berkenaan dan tampil kepada kami bagi memberikan secara jelas berhubung dakwaan itu,” katanya dalam kenyataan.

photo-1Beliau berkata, 118 operasi ke premis perjudian dijalankan dan 168 premis disita dari Januari hingga Disember tahun ini.

Manakala, 7,067 peralatan disita MPK termasuk peralatan komputer.

“MPK turut menyita 142 unit komputer di sekitar Bandar Parklands dalam operasi baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, warga Klang mempersoalkan statistik berkenaan yang dianggap tidak profesional.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Yusof berkata, statistik yang dikeluarkan mungkin hanya berdasarkan dakwaan NGO terbabit.

“Tiada lokasi hotspot dari daerah Klang. Statistik itu tidak profesional dan cacamarba,” katanya.

-NFN-