Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rezeki rumah pertama pelbagai peringkat usia

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 29 DIS: Memasuki usia awal 40-an, Hazana Hasan dan suami merasa sangat bertuah apabila terpilih antara 80 pemilik unit rumah mampu milik, Rumah Selangor Idaman PKNS di Antara Gapi, di sini.

hazanaBekerja sebagai pembantu tadbir, ibu kepada empat anak itu berkata faktor harga rumah yang sentiasa melambung membantutkan keinginan mereka sekeluarga memiliki kediaman sendiri sebelum ini.

Katanya, banyak program dan skim perumahan juga sudah dicuba, namun rezeki masih belum berpihak kepadanya anak-beranak.

“Menerusi dalam talian, pada Ogos lalu kami mengisi borang di LPHS dan akhirnya usaha itu membuahkan hasil apabila nama kami terpilih. Kami mohon rumah satu setengah tingkat tetapi kami bertuah apabila ditawarkan rumah teres dua tingkat.

“Terima kasih Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS),” katanya.

Lebih bertuah, juruteknik, Azizi Abdul Ghani, 26, menerima tawaran hanya selepas kira-kira dua minggu menghantar borang permohonan di LPHS.

“Tidak sangka tawaran datang seawal ini menjadikan kami teruja, pada masa sama bersyukur atas peluang diberikan.

lai-fook“Ini adalah hadiah istimewa untuk kami suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga, pada Ogos lalu,” kata anak jati Serendah itu yang ditemani isteri.

Perasaan teruja turut dikongsi guru bahasa, Lai Foo Fat, 33, yang menyifatkan ia sebagai program Kerajaan Negeri yang wajib direbut anak muda Selangor.

“Saya berharap agar belia Selangor tidak melepaskan peluang ini demi masa depan mereka terutama dengan nilai hartanah yang semakin melambung.

“Mereka hanya perlu mengisi borang secara dalam talian dan mengikuti arahan mudah. Siapa tahu inisiatif itu menjanjikan rumah pertama mereka,” katanya yang kini tinggal di Rawang bersama keluarga.

-NFN-