Categories
EXCO SELANGOR

1,083 kertas siasatan berkaitan judi dibuka, 891 sudah didakwa

SHAH ALAM, 6 DIS: Sebanyak 1,083 kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan judi bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu dengan 891 daripadanya sudah didakwa di mahkamah.

EXCO pembangunan generasi muda berkata seramai 2,298 individu termasuk empat pelajar sekolah ditahan dan sejumlah RM219,930 berjaya dirampas dalam tangkapan itu.

“Walaupun kes membabitkan pelajar kecil, pihak polis tetap ambil langkah serius menanganinya,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan wakil rakyat Sabak, Ahmad Mustain Othman mengenai perkembangan judi dalam talian membabitkan golongan muda pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Khairuddin berkata pihaknya juga menjalankan kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) merangka pelan jangka bagi mengatasi masalah judi.

“Kita juga bekerjasama dengan polis, pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor mengambil tindakan menyita premis, memotong bekalan elektrik dan bekalan air serta menahan individu yang terlibat bagi tujuan siasatan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar kesal 45 peratus orang Islam jadi ahli kelab judi

SHAH ALAM, 1 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal penambahan pusat perjudian di negara ini khususnya membabitkan umat Islam.

Berdasarkan maklumat diterima ketua pembangkang, tidak kurang 62 kelab judi beroperasi dan 45 peratus daripadanya membenarkan penglibatan orang Islam.

“Jumlah penglibatan umat Islam mencecah puluhan ribu dan saya minta menteri jelaskan kerana ini sudah melanggar selain dilakukan dalam keadaan terbuka oleh kerajaan sekarang.

“Nampak seperti ada usaha melindungi fakta ini, kita hendak tahu berapa jumlah kelab, slot mesin, anggota Islam yang terlibat. Kita ada rekod daripada MySejahtera tentang orang Islam terlibat dan ramai, jangan nafikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan 2022 di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut meminta Kementerian Kewangan dan pihak polis menyemak perkara tersebut.

“Ada laporan polis dan saya faham bila ada kepentingan syarikat-syarikat besar dan kaya sehingga lambat tindakan diambil,”katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Suspek utama video raya promosi judi direman empat hari

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Suspek utama penghasilan video raya yang mempromosikan judi dalam talian direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata suspek berusia 35 tahun itu, yang dikenali sebagai Ah Hoe, ditahan bersama dengan empat individu lain semalam.

“Suspek terbabit yang terdiri daripada penyanyi dan komposer direman selama dua hari, juga bermula hari ini sehingga esok, bagi membantu siasatan kes,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek berjaya dikesan semalam setelah diburu selama empat hari.

Secara keseluruhan, individu terbabit ditahan kerana penglibatan mereka dalam penghasilan video itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis buru sindiket utama video raya promosi judi

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat memburu sindiket utama yang menggajikan syarikat produksi untuk pembikinan dua video hari raya, yang mempromosi iklan perjudian secara dalam talian.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Dev Kumar berkata siasatan awal mendapati dua video mempromosi perjudian secara dalam talian yang tular di media sosial itu adalah daripada produksi yang sama.

“Kita akan kesan siapa syarikat yang gajikan syarikat produksi ini untuk menerbitkan kedua-dua video tersebut.

“Setakat ini, kita hanya tahan penerbit dan para pelakon. Mereka adalah pengantara dan selepas itu barulah kita boleh dapatkan sindiket atau individu yang bertanggungjawab terlibat dengan syarikat produksi ini untuk menerbitkan video tersebut,” katanya dalam sidang media mengenai iklan promosi judi bertemakan Aidilfitri di sini hari ini.

Turut serta ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Dev berkata setakat ini, 13 individu termasuk penerbit dan pelakon telah ditahan bagi membantu siasatan pembikinan kedua-dua video yang mempromosikan judi dalam talian itu.

Sembilan individu ditahan selepas video pertama tular manakala empat lagi ditahan selepas video kedua dikeluarkan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, katanya.

Sementara itu, Fadhlullah berkata tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati masih berdegil dengan memuat naik video tersebut di mana-mana platform media sosial untuk apa-apa tujuan tertentu.

“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan semula kedua-dua video tersebut kerana ia bukanlah satu kandungan yang baik,” katanya.

Sejak Jumaat, tular dalam media sosial mengenai penyiaran iklan yang mengajak umat Islam di dalam negara berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena sambutan Aidilfitri, dan MCMC sedang menggiat usaha menurunkan kandungan berkenaan dengan kerjasama penyedia platform seperti Facebook, Twitter dan YouTube.

Di Kuala Lumpur, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata empat individu yang merupakan pelakon dalam video kedua hari raya yang mempromosi iklan perjudian ditahan semalam. Mereka yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 24 dan 32 tahun itu ditahan di sekitar Ampang petang semalam.

Kesemua mereka direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes itu.

“Pelakon empat orang (untuk) video kedua (judi dalam talian) ini menerima upah kira-kira RM200 seorang. Upah video kedua ini, mahal sedikit berbanding pelakon video pertama iaitu RM180,” katanya kepada Bernama hari ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes puasa, polis bongkar aktiviti judi dan ceti haram majikan

KLANG, 15 APRIL: Susulan kes pukul dua orang pengawal peribadi oleh majikan kerana berpuasa semalam telah membawa kepada pembongkaran aktiviti judi haram dan sindiket ceti haram atau Along yang dijalankan syarikat milik majikan terbabit.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pembongkaran tersebut dibuat lanjutan daripada penahanan empat individu malam semalam yang merupakan pekerja kepada majikan tersebut yang kini direman selama lima ke tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata satu serbuan dibuat pada 10 malam di sebuah rumah seorang daripada suspek di Bukit Tinggi di sini dan merampas sepucuk pistol dan 10 butir peluru serta rotan yang digunakan untuk memukul kedua-dua mangsa.

Katanya senjata api itu adalah di bawah kawalan seorang daripada mangsa dan kepunyaan syarikat kawalan keselamatan.

“Hasil penangkapan tersebut turut membawa kepada penemuan 100 kg jongkong emas dan 12,500 not kertas US$100 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM28.25 juta di rumah tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan hari ini.

“Siasatan awal mendapati majikan mangsa yang berusia 44 tahun itu terlibat dalam kegiatan Along dan judi haram,” katanya sambil menambah majikan terbabit turut ditahan semalam di Dang Wangi.

Beliau berkata kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 298 KK kerana menghina Islam dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Selain itu katanya, polis juga akan menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 4(1) Akta pencegahan Pengubahan Wang haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan orang ramai untuk tidak mengaitkan kes tersebut dengan isu perkauman.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 1,000 kaki judi dalam Op Limau sepanjang 2020

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 1,000 individu disyaki terlibat kegiatan perjudian di dalam bangunan serta tempat bebas sepanjang 2020 menerusi Operasi Limau (Op Limau).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kesemua mereka ditahan menerusi 141 serbuan yang dibuat oleh PDRM.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga, PDRM telah merampas wang tunai berjumlah RM562,312.

“Secara keseluruhannya, Op Limau telah menunjukkan kejayaan dalam usaha mengekang kegiatan perjudian hasil kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada polis.

“(bantuan) ini amatlah dihargai,” katanya dalam kenyataan semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis buka kertas inkuiri siasat dakwaan judi di Maeps

SEPANG, 21 JAN: Polis membuka kertas inkuiri bagi menyiasat dakwaan berlakunya aktiviti judi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kertas inkuiri itu dibuka selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang anggota yang bertugas di Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda, Sepang hari ini.

“Kertas inkuiri ini dibuka bagi membolehkan polis membuat siasatan lanjut (mengenai kejadian itu) selain untuk pemantapan pemeriksaan pesakit di Maeps,” katanya hari ini.

Tular di media sosial beberapa hari lepas kononnya wujud aktiviti judi di sebuah dewan PKRC, MAEPS di Serdang yang menempatkan pesakit Covid-19.

Menerusi beberapa video berdurasi lima hingga 10 saat, terdapat beberapa pesakit yang bermain daun terup dan warganet menyifatkan tempat itu kini umpama mini kasino.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis serbu premis latih promosi judi, tahan lima warga asing

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Polis menyerbu sebuah premis yang dipercayai menyediakan latihan untuk mempromosi judi dalam talian dan pelaburan saham di sebuah hotel di Jalan Changkat Thambi Dollah dekat sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata empat lelaki warga China dan seorang wanita Vietnam berusia antara 21 hingga 33 tahun ditahan dalam serbuan di premis berkenaan kira-kira pukul 12.01 tengah malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu memberikan latihan bagi mempromosi aktiviti perjudian dalam talian serta pelaburan saham untuk pasaran di negara China, dan kesemua suspek dibawa masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial yang diuruskan majikan mereka.

“Semua suspek bekerja di premis itu sejak tiga bulan lepas dengan masing-masing menerima bayaran RM2,500 sebulan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Polis turut merampas 14 unit telefon bimbit, dua buah komputer riba dan pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk menjalankan perjudian dalam talian.

Mohamad Zainal berkata semua suspek direman sehingga 11 Disember ini untuk disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Judi: 18 premis dipotong bekalan elektrik

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Sebanyak 18 buah premis telah dipotong bekalan elektrik, yang melibatkan premis rumah kedai dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian di sekitar Ampang, Pandan Indah, dan Pandan Perdana, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Mohd Azam Ismail berkata, operasi pemotongan bekalan elektrik berkenaan dibuat bersama pihak Tenaga Nasional Berhad dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, semalam.

Beliau berkata, tindakan pemotongan bekalan elektrik ini diambil bagi mengekang aktiviti perjudian, di daerah Ampang Jaya.

“Tindakan pemotongan elektrik oleh kakitangan Tenaga Nasional Berhad mengikut undang-undang di bawah Seksyen 38 (1A) Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Undang-undang berkaitan bertindak mengikut Undang-Undang Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289 – Pindaan 2001) dengan kuasa-kuasa yang telah diberikan di bawah seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289 – Pindaan 2001) ke atas premis yang menjalankan kegiatan perjudian di dalam premis,” katanya dalam kenyataan semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lindungi premis haram: Penguat kuasa lain mungkin terlibat

PUTRAJAYA, 11 OGOS: Selepas penahanan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkaitan kes melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki tidak menolak kemungkinan anggota penguatkuasa lain turut terbabit.

“Mana-mana pihak yang terlibat kami (SPRM) akan siasat. Setakat ini penguatkuasa MBSA dan mungkin ada lagi. Wallahualam,” katanya.

Ditemui pemberita selepas melancarkan program SPRM PUBG Mobile i-Challenge, di sini hari ini, Azam turut meminta semua pihak bersabar agar pihak SPRM dapat menjalankan tindakan penguatkuasaan di bawah bidang kuasanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya hari ini mengesahkan tiga pegawai penguatkuasa MBSA ditahan kerana disyaki mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Mereka yang ditahan terdiri daripada dua pegawai penguatkuasa MBSA cawangan Sungai Buloh dan seorang daripada MBSA Shah Alam, berumur antara 41 tahun dan 49 tahun, ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, selepas dipanggil untuk memberi keterangan pada jam 9 pagi tadi.

Azam berkata SPRM menerima maklumat di seluruh negara berhubung kegiatan seperti perjudian dan rumah urut yang dilindungi pihak penguatkuasa.

“Namun demikian dalam kita nak menyiasat kes-kes rasuah, kita perlukan bukti dan sokongan daripada keterangan saksi,” katanya, yang turut mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat atau pengadu kerana berani tampil memberi kerjasama kepada SPRM dalam membanteras kegiatan rasuah.

Mengulas dakwaan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa SPRM berat sebelah dalam menyiasat kesnya berbanding bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Azam berkata : “Kami (SPRM) tidak ada berat-sebelah pada mana-mana pihak. Kami menjalankan tugas seperti biasa, secara telus dan profesional.”

Mengenai dakwaan Guan Eng yang dia perlu memakai baju lokap SPRM, Azam berkata pengunaan baju lokap berwarna oren terhadap individu adalah di bawah budi bicara pegawai penjaga lokap dan pegawai penyiasat.

Pada 8 Ogos lepas, Guan Eng menerusi laman Facebook berkongsi pengalaman ditahan dalam lokap SPRM sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur serta mendakwa dirinya tidak bernasib baik seperti menteri kewangan sebelumnya iaitu Najib ketika ditahan SPRM berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Ditanya sama ada individu lain akan didakwa berhubung kes rasuah melibatkan Lim Guan Eng yang membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, Azam berkata: “Setakat ini, mereka yang terlibat dalam kes itu telah dituduh di mahkamah.”

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sindiket judi dalam talian tumpas, 42 warga China ditahan

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Polis menahan 42 warga China termasuk dua wanita, selepas menyerbu beberapa unit di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak, dekat sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dalam kenyataan berkata sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur menahan kesemua suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun, dalam serbuan bermula 5.30 petang.

Beliau berkata hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati modus operandi sindiket mempromosikan judi dalam talian bagi pasaran luar negara iaitu China menggunakan aplikasi WeChat, WhatsApp dan QQChat.

“Sindiket ini menghantar ratusan pesanan WeChat, WhatsApp, QQChat kepada pelanggan di China dan beroperasi lebih kurang dua bulan.

“Jumlah bayaran sewa setiap unit premis adalah RM6,500 dan anggaran gaji bulanan setiap pekerja adalah RM2,500 hingga RM3,000. Premis beroperasi pada setiap hari bermula 9 pagi hingga 9 malam dan pekerja sindiket akan mengawal komputer utama serta telefon bimbit,” katanya.

Mazlan berkata sebanyak 24 set komputer, 273 telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah komputer riba serta beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk menjalankan operasi perjudian dalam talian dirampas untuk siasatan.

Menurutnya semua suspek direman 14 hari sehingga 1 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan perjudian haram atau berdepan tindakan undang-undang.

Polis juga meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan tempat tinggal masing-masing.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis serbu markas pusat panggilan judi dalam talian

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Sembilan lelaki warga tempatan ​ditahan selepas polis menyerbu sebuah banglo mewah empat tingkat yang dijadikan pusat panggilan judi dalam talian di Kuchai Lama, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua mereka yang berumur antara 20 dan 40 tahun yang dipercayai bekerja di premis itu ditahan sepasukan polis dalam serbuan kira-kira 3.55 petang.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati premis itu disewa dalam kawasan perumahan mewah bagi mengelak aktiviti mereka dikesan polis.

“Premis itu didapati menjalankan perjudian dalam talian khas untuk pasaran rakyat China dan tempatan.

“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan (d) Akta Pertaruhan 1953,” katanya dalam kenyataan.

-BERNAMA