Categories
NASIONAL

Cadangan gabung KEADILAN-AMANAH boleh dipertimbang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 DIS: Cadangan penggabungan parti KEADILAN dan Parti Amanah Negara (AMANAH) boleh dipertimbangkan jika memberi nilai tambah positif kepada kemenangan blok pembangkang.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu perlu diteliti kerana membabitkan soal dinamik parti dan pertubuhan demokratik yang memerlukan sikap terbuka.

Katanya, setiap pihak diharap tidak mewarisi cara pemikiran lama kerana ia bukan reformasi yang diharapkan.

“Itu hanya cadangan tetapi kita tidak boleh ambil sikap acuh tak acuh atau ketepikannya. Kita boleh berbincang walaupun bukan kerana perebutan kerusi.

“Penggabungan Parti Rakyat Malaysia dan Keadilan Nasional sebelum ini memberi kekuatan baru kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

mb-invest 1“Sudah tentu, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengambilnya sebagai contoh dan cadangan itu diutarakan,” katanya selepas merasmikan Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu di Bangunan SUK, di sini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda AMK, Dr Afif Bahardin mencadangkan supaya KEADILAN dan AMANAHA bergabung sebagai parti memandangkan kedua-duanya berkongsi nilai sama, termasuk pandangan terhadap Islam yang sederhana.

Katanya, gabungan itu juga bakal memberi kekuatan baru terhadap blok pembangkang sedia ada.

Walaubagaimanapun, cadangan itu ditolak Setiausaha Agung KEADILAN, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail kerana menganggap idea terbabit bersifat pramatang.

-AA-