Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PRU-14: KEADILAN terbuka bincang pembahagian kerusi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 DIS: KEADILAN bersikap terbuka bagi membincangkan pembahagian kerusi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara terbabit sudah dibincangkan bersama pimpinan parti yang mengambil kira persefahaman dijalinkan dengan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Kita harus mengambil sikap terbuka kerana ketika KEADILAN dibentuk, kita tiada kerusi sebaliknya diberikan DAP dan PAS.

“Justeru, kini giliran kita untuk bersikap terbuka dan bertanggungjawab dalam isu pembahagian kerusi kerana apa yang kita mahu adalah kemenangan dalam PRU-14,” katanya selepas merasmikan Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu di Bangunan SUK, di sini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, pembahagian kerusi tertakluk pada kekuatan dan keupayaan parti di sesuatu kawasan selepas perbincangan diadakan.

AZMINBagaimanapun, katanya, soal strategi tidak boleh dibincangkan secara terbuka dan menegaskan kerjasama terbabit tidak spesifik kepada beberapa negeri sahaja.

“Ketika ini, PAKATAN hanya mewakili tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Sudah tentu BERSATU di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kekuatan tersendiri di selatan Semenanjung,” katanya.

Terdahulu, PAKATAN dan BERSATU bersetuju untuk menjalin kerjasama berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/1963.

Melalui kerjasama itu, pimpinan bersetuju untuk menggunakan satu calon sahaja dalam PRU-14.

-AA-