Categories
GLOBAL

Dakwa tiada bukti sahih, bekas polis tuntut bebas SOSMA

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 20 DIS : Tanpa bukti kukuh membabitkan dakwaan yang mengaitkan anaknya, Lans Koperal Mustaza Abdul Rahman sebagai pengganas, Abdul Rahman Abdul Hamid berharap keadilan terhadap anaknya dapat ditegakkan.

Beliau berkata, anaknya kini ditahan di Penjara Sungai Buloh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan Khas (SOSMA) 2012, sejak Julai lalu kerana dikatakan terlibat dengan pengganas IS.

“Ketika kejadian anak saya berada di dalam kereta dan memegang sebuah telefon bimbit dan ditahan polis kerana dikatakan cuba terlibat dalam aktiviti keganasan.

“Saya ini bekas anggota polis, anak saya juga seorang polis dan arwah bapa saya yang juga adalah polis yang meninggal dunia ketika mempertahankan negara dari serangan pengganas.

“Saya saran anak saya untuk masuk polis demi negara ini. Jadi adakah masuk akal apabila anak saya dituduh sebagai pengganas oleh pihak polis tanpa sebarang bukti?” katanya.

Sebelum ini, Mustaza didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, bapa kepada seorang anak perempuan berusia dua tahun itu boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda.

Mustaza didakwa dengan sengaja tidak memberi sebarang maklumat berkenaan kesalahan di bawah Seksyen 130C dan Seksyen 130J(1)(b) kanun sama.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130M kanun yang sama dan kini masih ditahan mengikut Akta SOSMA.

Kes berkenaan kini disimpan dalam rekod Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) membabitkan tangkapan dan penahanan individu di bawah akta berkenaan.

=EZY=