Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

GeMS Ambang 2017 singkap nilai kemanusiaan golongan belia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 DIS: Penerapan nilai kemanusiaan dalam diri golongan belia dipupuk menerusi penganjuran pertandingan dan aktiviti riadah yang mengangkat tema kemanusiaan sempena program Generasi Idaman Selangor (GeMS) Ambang 2017.

Pengarah program, Mohd Azreen berkata, tema tersebut dipilih bagi mewujudkan sentimen kesedaran dalam kalangan golongan belia di negeri ini terhadap isu kemanusiaan tempatan dan global.

“Mengambil kira konflik kemanusiaan yang berlaku di luar negara seperti kemelut Rohingya dan peperangan di Syria menimbulkan kesedaran kepada masyarakat awam terhadap penderitaan yang dialami di sana.

img_3363“Justeru, golongan belia khususnya remaja Selangor perlu mendapat pemahaman jelas terhadap isu global yang wajar menjadi iktibar, sekali gus menyuntik kesedaran mereka menerusi pelbagai aktiviti dalam GeMS yang mengangkat tema ini.

“Pastinya, nilai kemanusiaan itu perlu diisi dan diterapkan dalam diri mereka supaya keprihatinan juga kesedaran terhadap konflik kemanusiaan itu difahami secara jelas serta berkesan,” katanya ketika ditemui selepas penganjuran pertandingan stompers di Dataran Kemerdekaan, di sini, pagi ini.

Dalam perkembangan itu, lebih 10 pasukan dari Kolej Komuniti seluruh negeri menyertai pertandingan tersebut yang kebanyakannya dianggotai golongan belia bawah 23 tahun.

Penganjuran pertandingan tersebut merupakan antara aktiviti dan pengisian karnival GeMS Ambang 2017, bermula 29 Disember hingga 31 Disember ini.

GeMS Ambang 2017 dianjurkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan, Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor dengan usahasama Kolej Inspen, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

-NFN-