Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Job Fair peluang graduan teroka dunia pekerjaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 DIS: Karnival Selangor Job Fair 2016 memberi peluang kepada golongan muda untuk mengisi keperluan kekosongan pekerjaan dalam bidang profesional dan kemahiran.

kuis 6Penyelaras program, Daniyel Mat Jusoh berkata, graduan diberi peluang untuk membuat permohonan pekerjaan secara terus di syarikat tempatan pilihan mereka.

“Ini bukan program julung kalinya memandangkan setiap tahun karnival ini dilaksanakan sebagai landasan graduan lepasan institut pengajian tinggi awam dan swasta atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk memohon pekerjaan.

“Lebih mudah apabila mereka boleh terus membuat permohonan dan diberi peluang untuk ditemuduga oleh syarikat dan agensi pekerjaan yang mengambil bahagian dalam karnival tahun ini.

“Kita harapkan graduan yang masih mencari pekerjaan atau mahukan peluang pekerjaan lebih baik boleh menggunakan peluang ini sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas penganjuran pertandingan stompers di Dataran Kemerdekaan, di sini, pagi ini.

Pada masa sama, karnival yang berlangsung 31 Disember ini akan disertai lebih 35 syarikat swasta dan agensi pekerjaan yang menawarkan pelbagai kekosongan jawatan dalam pelbagai bidang profesional dan kemahiran.

Antara syarikat utama seperti Pos Malaysia, Aeon Berhad, Kumpulan Naza serta syarikat GLC milik Kerajaan Negeri untuk jawatan tetap dan kontrak.

-NFN-