Categories
NASIONAL

GPM Malaysia hantar bantuan ke Aceh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 DIS: Global Peace Mission (GPM) Malaysia mula menghantar misi bantuan kecemasan pertama hari ini ke Aceh, Indonesia bagi meninjau dan menyerahkan sumbangan awal RM10,000.

Dalam kenyataan medianya, GPM turut berhubung dan bekerjasama dengan pihak LAZIS Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia (DDII) dan DDII Aceh bagi mengenal pasti lokasi juga keperluan susulan serta menggerakkan bantuan kecemasan yang diperlukan di sana.

“Global Peace Mission (GPM) Malaysia akan segera menghantar misi bantuan kecemasan pertama membabitkan dua sukarelawan ke Aceh, pada 9 Disember (hari ini) untuk meninjau dan menyerahkan sumbangan awal.

“Walaupun gempa yang berlaku tidak mengakibatkan tsunami, namun kesan daripada bencana ini turut menyebabkan runtuhan bangunan, kerosakan harta awam, jalan raya, masjid dan rumah ibadat serta premis perniagaan,” kata kenyataan itu.

GPM turut bersimpati terhadap kejadian gempa bumi berukuran 6.4 magnitud di Pidie Jaya yang mengorbankan lebih 97 nyawa dan ratusan lagi mangsa cedera, baru-baru ini.

Jumlah kematian dan mereka yang tercedera ini difahamkan akan terus meningkat.

Sehubungan itu, GPM melancarkan “Tabung Prihatin ACEH” atas nama Global Peace Mission untuk memudahkan orang ramai terutamanya rakyat Malaysia yang prihatin bagi menyalurkan bantuan kepada akaun Maybank Islamic – (5642-2161-1602) atau Bank \Islam – (14-023-01-002-922-4).

-AA-