Categories
AGENDA NASIONAL

APMM: Sindiket transit pelarian Rohingya di Aceh sebelum masuki Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memberi tumpuan kepada pemantauan semua jenis bot yang melalui perairan negara dari Indonesia bagi menyekat kemasukan pendatang tanpa izin termasuk pelarian Rohingya ke Malaysia.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata sindiket membawa masuk pendatang tanpa izin ke dalam negara disyaki menggunakan bot nelayan, bot kecil dan bot perdagangan tukar barang.

Beliau berkata antara taktik yang digunakan sindiket dari Indonesia dan Malaysia untuk membawa masuk pendatang tanpa izin termasuk pelarian Rohingya ialah memuatkan mereka dalam bot kecil di kawasan sempadan sebelum mereka dibawa ke daratan.

“Pelarian Rohingya sering menjadikan negara ini sebagai destinasi akhir berdasarkan hasil siasatan kes penyeludupan pendatang tanpa izin di utara tanah air pada awal tahun lepas.

“Kita tahu mereka akan meneruskan perjalanan ke Malaysia kerana keluarga mereka telah berada di sini dan akan menggunakan pelbagai cara serta helah untuk sampai ke negara ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Zubil berkata, semua pintu masuk dan lorong tikus di kawasan persempadanan negara dikawal ketat menyebabkan sindiket pendatang tanpa izin Rohingya ini mengubah destinasi mereka ke Aceh, Indonesia dan menjadikan Aceh sebagai pusat transit.

Katanya, APMM sentiasa bersedia bagi menyekat kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini dengan menempatkan aset termasuk sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) di lokasi strategik.

Beliau mengulas laporan mengenai ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia.

Katanya, APMM sentiasa bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta semua aset di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) menerusi Op Benteng untuk mengawal ketat kemasukan Rohingya dan pendatang tanpa izin dari negara jiran yang lain.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

10 maut, puluhan cedera, telaga minyak terbakar di Aceh

BANDA ACEH 25 APR: Sekurang-kurangnya 10 terkorban, manakala puluhan lagi cedera dalam kebakaran di sebuah telaga minyak haram di wilayah Aceh, pagi tadi.

Menurut pihak berkuasa, tumpahan minyak menyebabkan api semakin marak pada jam 1.30 pagi (waktu tempatan) hingga memusnahkan sekurang-kurangnya tiga kediaman.

Setakat ini, usaha untuk mengawal kebakaran sedang giat dijalankan pihak berkuasa.

“Kebakaran masih marak dan sehingga kini masih gagal dipadamkan sepenuhnya,” kata ketua mukim Ranto Peureulak, Aceh, Saiful.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

GPM Malaysia hantar bantuan ke Aceh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 DIS: Global Peace Mission (GPM) Malaysia mula menghantar misi bantuan kecemasan pertama hari ini ke Aceh, Indonesia bagi meninjau dan menyerahkan sumbangan awal RM10,000.

Dalam kenyataan medianya, GPM turut berhubung dan bekerjasama dengan pihak LAZIS Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia (DDII) dan DDII Aceh bagi mengenal pasti lokasi juga keperluan susulan serta menggerakkan bantuan kecemasan yang diperlukan di sana.

“Global Peace Mission (GPM) Malaysia akan segera menghantar misi bantuan kecemasan pertama membabitkan dua sukarelawan ke Aceh, pada 9 Disember (hari ini) untuk meninjau dan menyerahkan sumbangan awal.

“Walaupun gempa yang berlaku tidak mengakibatkan tsunami, namun kesan daripada bencana ini turut menyebabkan runtuhan bangunan, kerosakan harta awam, jalan raya, masjid dan rumah ibadat serta premis perniagaan,” kata kenyataan itu.

GPM turut bersimpati terhadap kejadian gempa bumi berukuran 6.4 magnitud di Pidie Jaya yang mengorbankan lebih 97 nyawa dan ratusan lagi mangsa cedera, baru-baru ini.

Jumlah kematian dan mereka yang tercedera ini difahamkan akan terus meningkat.

Sehubungan itu, GPM melancarkan “Tabung Prihatin ACEH” atas nama Global Peace Mission untuk memudahkan orang ramai terutamanya rakyat Malaysia yang prihatin bagi menyalurkan bantuan kepada akaun Maybank Islamic – (5642-2161-1602) atau Bank \Islam – (14-023-01-002-922-4).

-AA-