Categories
SELANGOR

PAS Selangor lancar ‘roadshow’ terang Belanjawan Negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 DIS: Badan Perhubungan PAS Selangor memulakan ‘roadshow’ ke setiap kawasan Parlimen di negeri itu untuk menerangkan isi Belanjawan Selangor 2017 kepada rakyat.

Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Iskandar Samad berkata, ia bagi memastikan pimpinan dan ahli PAS di peringkat akar umbi memahami isi kandungan belanjawan terutama manfaat yang boleh diperolehi daripadanya.

Katanya, ‘roadshow’ itu bermula pada 7 Oktober lalu di tiga kawasan iaitu Ampang, Selayang dan Hulu Selangor yang dijangka berakhir, pada Januari tahun depan.

“Usaha PAS Selangor ini untuk memastikan tiada rakyat yang ketinggalan ekoran maklumat tidak sampai kepada mereka.

“Exco dan Ahli Dewan Negeri (ADN) dipilih untuk memberi penerangan kerana mereka terlibat secara langsung di dalam perbahasan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika belanjawan dibentangkan,” katanya dalam kenyataan.

photo-34Majlis penerangan di Ampang dihadiri Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Razali Hassan dan ADN Selat Klang, Dr Halimah Ali.

Manakala di Selayang dihadiri Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Exco Infrastruktur, Kemudahan Asas dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Sementara itu, di Hulu Selangor, dikendalikan ADN Tanjung Sepat, Haslin Hassan dan ADN Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz.

-AA-