Categories
SELANGOR

Ibu tunggal muda harap LZS bantu hadapi cabaran hidup

OLEH ERMIZI MUHAMAD

HULU KLANG, 17 DIS : Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang boleh diungkapkan kepada Nor Ashikin, 30 apabila dirinya terus diuji dengan pelbagai dugaan dalam meneruskan kehidupan yang lebih baik kini.

Selepas mahligai perkahwinannya musnah, Nor Ashikin kini menjalani kehidupan sebagai ibu kepada tiga orang anak serta menjaga ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang.

Lebih memilukan, anak sulungnya, Nor Qistina disahkan doktor sebelum ini menghidap penyakit Leukemia (masalah kurang darah putih) yang memerlukan tumpuan lebih darinya.

Tidak mempunyai pendapatan tetap, Nor Ashikin hanya mengambil tempahan membuat kuih dan menerima wang perbelanjaan nafkah daripada bekas suami.

“Saya sukar untuk mencari pekerjaaan memandangkan faktor kesihatan ibu yang agak teruk, memerlukan saya memberi tumpuan yang lebih kepada ibu.

“Tambahan pula anak sulung saya pula disahkan sebelum ini menghidap Leukemia, dan keadaan ini cukup memberi kesan yang besar kepada saya dan keluarga,” ceritanya kepada SelangorKini.

Mengakui kesukaran itu, Nor Ashikin pernah tiga kali membuat permohonan ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mendapatkan sedikit keperluan dana bantuan kewangan baginya meneruskan kelangsungan hidup.

Bagaimanapun menurutnya, permohonannya sehingga kini masih belum diluluskan, dengan LZS hanya menyalurkan bantuan pembiayaan rawatan ibunya menjalani rawatan dialisis.

“Kami sekeluarga hanya menerima bantuan dari LZS untuk sebahagian kos rawatan ibu sahaja, dan saya difahamkan selepas ini LZS akan menghentikan pembiayaan tersebut dan memerlukan saya membayar kos sepenuhnya rawatan itu.

“Bagaimana saya boleh dapatkan wang itu dalam keadaan saya dan keluarga yang cukup mendesak sekarang ini?” luahnya.

Prihatin terhadap nasib yang menimpa keluarga itu, Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) menerusi Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata pihaknya bersama Pusat Khidmat Dun Hulu Klang akan meneliti semula permohonan Nor Ashikin untuk dirujuk kepada LZS.

“Kita akan rujuk semula aduan keluarga ini kepada LZS untuk tindakan selanjutnya, namun kita harap Nor Ashikin tabah dengan dugaan ini dan tidak patah semangat meneruskan kehidupan,” katanya ketika turun padang menyerahkan bantuan kewangan kepada keluarga berkenaan.

Dalam perkembangan itu, sebanyak 10 keluarga berkelayakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang menerima bantuan zakat sebanyak RM500 dari PEKAWANIS, semalam.

=EZY=