Categories
SELANGOR

PEKAWANIS terus bantu masyarakat ‘miskin bandar’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

HULU KLANG, 17 DIS: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) meneruskan usaha mendekati golongan miskin bandar dalam program turun padang dan serahan zakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang, semalam.

Diketuai Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif pertubuhan itu memastikan golongan memerlukan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Ini sebagai komitmen kita untuk membantu golongan miskin bandar yang memerlukan bantuan dari segi kewangan dan moral untuk menjalani kehidupan lebih baik,” katanya.

Serahan zakat diberikan kepada 10 penerima melibatkan penempatan di Keramat Pangsa, Sri Impian, Klang Gate, Kampung Taman Warisan, Kampung Fajar dan Kampung Kemensah.

Kesemua penerima menerima bantuan kewangan sejumlah RM500 dan serahan buah tangan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Klang, Saari Sungip yang diwakili Ahli PEKAWANIS, Aliza Jaafar.

Tidak bersandar kepada bantuan kewangan semata-mata, Shamshida turut memanfaatkan peluang tersebut dengan memberikan dokongan moral kepada penerima.

Keprihatinan pertubuhan itu menyerlahkan lagi iltizam dan komitmen PEKAWANIS membantu rakyat di negeri ini tanpa mengambilkira perbezaan kaum dan agama.

“Tumpuannya PEKAWANIS terus membantu mereka memerlukan dengan harapan bantuan seumpama ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dan boleh meringankan beban mereka,” kata Shamshida.

Terdahulu, PEKAWANIS optimis mempelbagaikan lagi program ziarah dan serahan bantuan dalam usaha pertubuhan itu memastikan golongan serba kekurangan di negeri ini mendapat perhatian.

Bantuan terus disalurkan terutamanya ketika menjelang musim perayaan, atau permulaan persekolahan tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

=EZY=