Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

INPENS fokus lahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran tinggi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 DIS: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) bersedia untuk menjadi pusat pendidikan vokasional pilihan utama bagi melahirkan pelajar berkemahiran tinggi supaya boleh bersaing dalam industri pekerjaan.

Bagi merealisikan hasrat itu, Pemangku Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, INPENS memantapkan lagi organisasi itu daripada segi kemudahan pembelajaran dan tenaga pengajar.

“Kita mahu menjadikan INPENS sebagai pilihan pertama. Sebelum ini kita mengenali IMPENS sebagai sekolah vokasional yang mengambil pelajar tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT).

“Pada 2017 kita merancang mentransformasikan INPENS ini dengan menaiktaraf kemudahan dan mantapkan tenaga pengajar. Kita juga berhubung rapat dengan pemain industri,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, INPENS yang mempunyai hampir 700 pelajar setakat ini tidak berhasrat untuk menambah kursus baru bahkan merangka strategi menarik pelajar lepasan diploma menyambung bidang kemahiran di sini.

“Tahun 2018 kita mula bergerak mengambil pelajar dengan kriteria lebih teliti supaya pendidikan vokasional ini tidak lagi menjadi tempat menampung pelajar tidak berkelayakan atau menjadi pilihan kedua.

“Dahulu mungkin ada yang mengambil (pengajian) di INPENS dan kemudiannya diploma. Sekarang kita mahu orang yang ada diploma datang ke INPENS untuk membuat teknikal vokasional,” katanya.

Ahmad Zabri berkata, Fiesta INPENS 2016 yang dianjurkan pada 2 dan 3 Disember lalu merupakan permulaan untuk memperkenalkan INPENS secara meluas kepada umum serta akan dijadikan acara tahunan.

=EZY=