Categories
SELANGOR

ISMEC berlangsung jaya di KUIS

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 7 DIS: Seminar Antarabangsa Multi Etnik dan Silang Budaya (ISMEC) berlangsung dengan jayanya di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 19 November lalu.

Pengarah seminar, Dr Zulkifli Aini, berkata seminar bertema “Kebijaksanaan Menangani Kepelbagaian Etnik dan Budaya” mengupas isu Orang Asli dan Pribumi berjaya mencapai matlamat dengan penyertaan ahli akademik serta pengkaji dari dalam dan luar negara.

“Penyertaan datangnya daripada negara seperti Indonesia, Brunei, Sri Lanka, Bangladesh dan Libya di mana ia berlangsung menarik melalui perkongsian pandangan juga idea hasil pembentangan kertas kerja.

“Antara pembentang kertas kerja utama ialah Rektor KUIS, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri dan Prof Madya Dr M Jabal Buaben dari Universiti Brunei Darussalam,” katanya.

Seminar anjuran Pusat Kajian Dakwah Orang Asli dan Peribumi Fakulti Pengajian Islam Universiti Kenbangsaan Malaysia (UKM) serta Ahli-Sunnah Wal-Jamaah and Dakwah Development Center (ASDEC) KUIS dengan kerjasama Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam UKM.

Ia dirasmikan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Bangi, Mohd Shafie Ngah.

Beliau berkata, hasil daripada perbincangan seminar itu, satu majlis menandatangani surat hasrat berjaya dimeterai antara Fakulti Pengajian Islam UKM bersama KUISCELL Sdn Bhd.

“Ia adalah bagi bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan mengenai masyarakat Orang Asli dan Pribumi di Malaysia,” katanya.

-nR-