Categories
SELANGOR

Jurutera MBSA dilantik ahli lembaga MBoT

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 DIS: Jurutera berpengalaman Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Feroz Hanif Mohamad Ahmad dilantik sebagai Ahli Lembaga Teknologis Malaysia (MBoT) yang julung kali ditubuhkan.

Beliau yang mula berkhidmat di MBSA sejak 1998 mewakili seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia dalam badan profesional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu.

Pelantikan Feroz adalah bagi tempoh dua tahun bermula 25 Februari 2016.

“Saya berbangga, terharu serta berterima kasih di atas pelantikan ini.

“Ia adalah satu amanah dan saya berazam untuk memainkan peranan sebaik mungkin agar semua juruteknik dan profesion berasaskan teknikal mendapat pengiktirafan selayaknya di peringkat tertinggi,” katanya.

Feroz menerima watikah rasmi di Majlis Pelancaran MBoT yang disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau di Dewan Tun Abdul Razak, Pusat Konvesyen Bank Rakyat pada 17 November lalu.

MBoT ditubuhkan untuk mendaftar dan mengiktiraf Teknologis Profesional (Professional Technologist) serta Juruteknik Bertauliah (Certified Technician) sebagai profesion iktisas selaras dengan saranan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).

Ia lahir atas usaha sama dan permuafakatan antara MOSTI dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kerja Raya dan pelbagai kementerian lain.

-nR-