Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kaji selidik: 87.5% setuju tindakan MB, mahu FAS dirombak

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 DIS: 87.5 peratus atau 84 responden menjawab “tidak setuju” dengan kenyataan “Barisan Exco FAS yang ada hari ini perlu dikekalkan kerana mempunyai pengalaman luas dan banyak berjasa kepada kejayaan bola sepak Selangor”.

Dalam soalan sama dalam kaji selidik secara online itu turut mendapati sebanyak 12.5 peratus atau 12 responden lain menjawab “tidak pasti” dan tiada responden menyatakan “setuju”.

Sebanyak 87.5 peratus responden kaji selidik ‘Sikap Penyokong Bola Sepak Selangor Berhubung Kemelut Membabitkan FAS’ itu turut “setuju” dengan langkah Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tidak menyalurkan dana kepada FAS supaya persatuan bola sepak negeri itu mampu berdikari menjana pendapatannya sendiri.

Sementara itu dalam kaji selidik dijalankan SelangorKini melibatkan 96 responden itu mendapati hanya 6.25 peratus atau 6 responden menyatakan “tidak setuju” dengan langkah sama dan 6.25 peratus (6 responden) lagi menjawab “tidak pasti”.

RED-GIANTS-660x471Bagi soalan menyentuh langkah PKNS FC menjadi ahli gabungan Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBMS) bagi memastikan kelab itu dapat menyertai Liga Malaysia 2017 (Liga M 2017) pula sebanyak 84.37 peratus “setuju” (81 responden), 4.16 peratus (4 responden) “tidak setuju” dan 11.45 peratus (11 responden) lagi menjawab “tidak pasti”.

Apabila diminta memilih jalan penyelesaian kemelut bola sepak Selangor berdasarkan keutamaan pilihan responden, sebanyak 37.5 peratus (36 responden) memilih “penyokong perlu bersedia memberi sokongan padu kepada PKNS FC.

Ia andainya PKNS FC menjadi pasukan tunggal mewakili Selangor dalam kempen Liga M 2017 sebelum pasukan Selangor kembali beraksi dengan wajah baru pada musim akan datang”.

Sebanyak 25 peratus (24 responden) memilih “Selangor FA perlu diswastakan sebagai sebuah kelab profesional tetapi tidak bergabung dengan PKNS FC supaya kedua-dua pasukan menyertai Liga M sebagai kelab berbeza” sebagai jalan penyelesaian pilihan utama mereka.

Sebanyak 20.83 peratus (20 responden) pula memilih “Selangor FA dan PKNS perlu digabungkan dan diswastakan di bawah satu kelab profesional dengan melahirkan pasukan utama bermain di Liga Super dan pasukan kedua bermain di Liga Perdana”.

Sebanyak 6.25 peratus (6 responden) memilih “Demi bola sepak Selangor, Kerajaan Negeri perlu kembali biayai Selangor FA dalam kempen Liga M 2017 bagi membolehkan Selangor FA mempunyai dana untuk menyertai kempen Liga M 2017 dengan bajet yang mencukupi” dan 10.41 peratus (10 responden) tidak menyatakan jalan penyelesaian pilihan masing-masing.

Terdahulu, seramai 96 responden terdiri daripada 16 mengaku sebagai ahli salah satu kelab penyokong bola sepak Selangor, 77 bukan ahli dan tiga tidak diketahui secara suka rela memberi respon untuk menyertai ‘Kaji Selidik Sikap Penyokong Bola Sepak Selangor Berhubung Kemelut Membabitkan FAS’.

Soalan kajian secara online kemudiannya dikemukakan melalui sama ada applikasi Messenger atau whatsApp itu dijalankan pada 9 hingga 14 Disember lalu bagi melihat sikap penyokong bola sepak Selangor dalam berhadapan kemelut yang melanda FAS kebelakangan ini.

=EZY=