Categories
NASIONAL

KAMM2017: Semangat baru untuk Malaysia

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 DIS: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyokong penuh inisiatif kumpulan anak muda Demi Malaysia yang akan menganjurkan Kongres Anak Muda Malaysia (KAMM2017) pada 17 hingga 19 Februari tahun depan.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha itu tepat pada masanya memandangkan Malaysia sememangnya memerlukan sebuah kuasa ketiga yang kuat menampung suasana politik semasa.

Katanya, inisiatif itu bagai langit dan bumi jika dibandingkan dengan kemunculan kumpulan-kumpulan yang mengheret belia ke lembah kemunduran seperti Baju Merah pimpinan Datuk Jamal Md Yunos.

nik-nazmi“AMK bersedia bersama dengan kumpulan Demi Malaysia dalam menyalurkan sebarang bentuk bantuan sekiranya diperlukan pihak penganjur.

“Memandangkan perkumpulan anak muda yang kuat amat penting sebagai mekanisme semak dan imbang bukan sahaja kepada pemerintah, tetapi semua pihak termasuk komponen parti pembangkang.

“Ditambah dalam kondisi politik Malaysia hari ini yang dibelengu skandal dan krisis kepercayaan terhadap pemerintah, kehadiran kumpulan anak muda yang kuat menjadi faktor meletakkan halatuju negara kembali kepada matlamat rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, insiatif KAMM2017 itu juga dilihat sebagai manifestasi anak muda yang saban hari semakin resah dengan kemelut politik tanah air.

“Kita mengharapkan semua pihak termasuk pihak Kerajaan khususnya kementerian belia dapat memberi sokongan penuh terhadap Kongres ini. Janganlah Kongres ini dianggap secara negatif walaupun para penganjurnya merupakan kumpulan yang selama ini kritikal terhadap polisi-polisi Kerajaan.

“AMK percaya usaha anak muda ini menjangkaui dan mengatasi apa juga sentimen politik, hasilnya juga sudah pasti boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Tambahnya, Demi Malaysia yang lebih baik, AMK menyeru semua anak muda Malaysia untuk hadir dan bersolidariti dalam KAMM2017.

-nR-