Categories
SELANGOR

KDEBWM: Hanya 40 aduan sampah berbanding 800 sejak Julai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 DIS : Enam bulan menjalankan operasinya, KDEB Waste Management Sdn Bhd berjaya mengurangkan aduan masyarakat sekitar perbandaran Klang sehingga 40 aduan untuk tempoh sebulan berbanding 800 aduan sejak Julai lalu.

Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir berkata, pencapaian tersebut didorong hasil komitmen dan tangungjawab pihaknya memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Klang.

“Keutamaan kita adalah untuk beri perkhidmatan terbaik kepada masyarakat selepas diamanahkan menjalankan tugas ini daripada Kerajaan Negeri sejak Julai lalu.

“Kami percaya, penurunan jumlah aduan ini sememangnya sangat drastik hasil daripada komitmen dan kebertanggungjawaban kami menjalankan tugas.

“Untuk tempoh ini, kami konsisten untuk terus menyediakan tenaga kerja yang lebih cekap, fasiliti lori kutipan sampah lebih teratur, bersistematik, dan komited menyelesaikan aduan masyarakat dalam tempoh singkat,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini pada Selangor Smart City International 2016 di The Saujana Hotel, Kuala Lumpur, di sini.

KDEB mengambilalih pengurusan operasi kutipan sampah domestik di kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bermula 1 Julai 2016.

Untuk tempoh tersebut, kesemua kawasan kutipan sekitar Klang dipertanggungjawabkan di bawah bidang kuasa KDEB kecuali di Taman Sentosa dan Bandar Bukit Tinggi.

Sebelum ini, wujud rungutan daripada masyarakat sekitar Klang berhubung permasalahan kutipan sampah tidak teratur oleh kontraktor lama sejak Jun lalu.

Bagaimanapun, selepas tempoh peralihan kontrak dibuat, masalah sampah di kawasan penduduk padat di Kampung Sungai Udang, Kampung Delek dan Telok Gadong.

=EZY=