Categories
SELANGOR

Terima kasih ringankan beban

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 7 DIS: Dengan kos sara hidup semakin meningkat naik, nilai baucar RM50 bagi program Back To School di mata golongan memerlukan amat bermakna.

Ibu kepada empat anak, Arabiah Basir, 37, terharu dan berterima kasih atas inisiatif Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu.

img_5988“Dengan nilai itu saya dapat menyediakan stokin, baju dan tudung sekolah baru buat anak saya.

“Melihat anak tersenyum, apa lagi yang lebih bererti dalam hidup ibu bapa. Saya bersyukur atas bantuan ini,” katanya yang ditemui di pasar raya Mydin USJ, di sini.

Beliau merupakan salah seorang daripada 120 penerima yang diraikan di Majlis Penyampaian Baucar Back To School MPSJ di sini, hari ini.

Turut serta, Noramizah Johari, 11, yang kehilangan bapa sejak kecil dan kini dijaga ibunya yang merupakan pekerja kilang.

“Saya gembira sangat ada pihak sudi bantu saya dan ibu. Kami bukan orang senang, ibu susah bekerja untuk besarkan saya.

“Dengan baucar tadi, dapatlah saya beli peralatan tulis dan tudung baru bagi melengkapkan persiapan saya menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun hadapan,” katanya yang tinggal di SS13.

img_5986Sementara itu, Lahmak Ahmad, 54, berkata baucar RM50 itu diterima buat tahun kedua berturut-turut daripada MPSJ.

“Sekarang harga barang semua naik, tiada lagi yang turun, suka atau tidak kami kena hadapi walau apapun pendapatan kami perolehi.

“Jadi dengan bantuan seperti ini, sekurang-kurangnya beban kami kurang sedikit dan ia sebenarnya begitu bermakna buat kami,” kata peniaga kecil-kecilan ini.

img_5983Turut bersetuju, Norlian Ali, 50, mengakui baucar berkenaan sememangnya dinantikan bagi menyediakan persiapan sekolah tiga anaknya.

“Tahun lepas dapat, jadi kami sangat bersyukur tahun ini kami dapat bantuan lagi.

“Memang ada yang cakap ala bukan banyak pun, tetapi kalau mereka berada di tempat kami, mereka tahulah nilai duit walaupun RM1,” kata surirumah ini yang turut mempunyai seorang lagi bayi lelaki.

-nR-