Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN tak larang AMANAH bertanding di Selangor dan Pulau Pinang

SHAH ALAM, 22 DIS: KEADILAN menafikan meminta Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak bertanding di Selangor dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) seperti yang dilaporkan akhbar, baru-baru ini.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafie berkata, pihaknya tidak membuat sebarang keputusan untuk melarang AMANAH daripada bertanding di dua negeri berkenaan.

“KEADILAN Selangor sangat bersetuju strategi satu lawan satu untuk berdepan BN (Barisan Nasional) dengan menyeru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memberikan lebih fokus dan tumpuan di kawasan selatan Semenanjung atau negeri lain yang belum dikuasai PAKATAN.

????????????????????????????????????

“Bagaimanapun, KEADILANSelangor akan akur dengan arahan daripada kepimpinan untuk melaksanakan sebarang kerjasama termasuk dalam pembahagian kerusi dengan PPBM,” katanya dalam kenyataan lapor MalaysiaKini yang memetik laporan Utusan Online.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, cadangan penggabungan KEADILAN dan AMANAH wajar dipertimbangkan.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, ia perlu diteliti kerana melibatkan soal kedinamikan parti dan pertubuhan yang demokratik perlu bersikap terbuka.

“Bagi saya, kita tak boleh ambil sikap acuh tak acuh atau ketepikannya (langsung). Cadangan berkenaan boleh dibincangkan dan pertimbangkan tetapi bukanlah kerana ada perebutan kerusi,” katanya.

Mengulas lanjut, Shuhaimi yang juga Setiausaha Politik Mohamed Azmin berkata, isu pembahagian kerusi hanya akan ditentukan kepimpinan parti di peringkat pusat, manakala pihaknya bersedia memberikan sebarang cadangan bersesuaian secara tertutup.

-NFN-