Categories
SELANGOR

Shuhaimi selesai tunai tanggungjawab mengundi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MEI: Calon KEADILAN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2, kira-kira jam 4.15 petang.

Beliau hadir bersendirian berkemeja putih dan sempat meluangkan bersalam dengan pengundi di kawasan itu.

Turut kelihatan bekas Ahli Dewan Negeri, Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Sebelum itu, beliau melawat beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Sungai Kandis.

DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru diantara calon KEADILAN, Mat Shuhaimi Shafiei dicabar oleh Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari; Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Pada Pilihanraya Umum ke 12 dan 13, DUN 49 merupakan DUN Sri Andalas, yang dimenangi Xavier Jayakumar, dengan masing-masing jumlah undi 20,258 dan 31,491.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Calon N.49 Sungai Kandis kecam tindakan pihak sebar mesej palsu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MEI: Calon N.49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei mengecam tindakan pihak yang menyebarkan mesej palsu dengan menggunakan talian peribadi beliau.

Shuhaimi berkata, mesej berkenaan berbunyi bahawa kononnya penyokong hadir ke program Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas berlangsung semalam akan disediakan makan, minum dan elaun kehadiran (RM100).

“Mesej itu ditularkan kepada pengundi dalam DUN Sungai Kandis dan DUN Kota Raja malah ada juga tulis mereka yang hadir akan diberikan elaun RM100; RM1,000 dan US 100 dolar.

“Perbuatan berkenaan sangat tidak bertanggungjawab, dalam situasi sekarang ini kita sepatutnya meraikan demokrasi bukannya menggunakan saluran penipuan seperti itu sekali gus memberi imej tidak baik kepada musuh politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Sidang Media di Bilik Gerakan Utama DUN Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Selain itu, Shuhaimi menegaskan kepada semua supaya bertanding atas semangat demokrasi, ikut peraturan bukan dengan menyebarkan perkara yang tidak sahih.

“Disebabkan mesej tular berkenaan ramai yang telefon dan hantar mesej kepada saya, ada yang maki, ada gembira namun ramai juga yang kata kami boleh datang walaupun tiada bayaran.

“Hal ini menimbulkan serangan kembali kepada mereka yang cuba memanipulasikan mesej berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Shuhaimi berkata, beliau akan mengambil tindakan tegas dan menyeru pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat siasatan terperinci.

Justeru, Shuhaimi yang juga selaku Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor menegaskan kepada pihak media untuk memainkan peranan dalam menyampaikan kebenaran kerana soal fitnah penipuan itu sama sekali tidak boleh diterima.

“Kita bekerja berasaskan fakta yang sahih dan bukan bergantung kepada spekulasi atau tawaran kewangan yang konon ditawarkan PAKATAN.

“PAKATAN bertanding tanpa memberi apa-apa wang kepada pengundi walhal pengundi sendiri bijak menentukan mana benar mana tidak,” katanya.

Sekali lagi, Shuhaimi menegaskan kepada mana-mana pihak supaya hentikan perbuatan tidak bermoral itu dan tindakan lebih ketat akan dilakukan pada masa akan datang sekiranya berlaku lagi hal sedemikian.

Terdahulu, Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas berlangsung dengan penuh meriah dihadiri lebih 10,000 rakyat semalam.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei dan Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja (P111) Mohamad Sabu.

Turut hadir calon KEADILAN DUN Sentosa (N48), Dr G Gunaraj dan calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Shuhaimi santuni penduduk Johan Setia, Jalan Kebun

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 APR: Calon KEADILAN Sungai Kandis (N49) memulakan program pertama walkabout dan menyantuni penduduk di Johan Setia, pagi ini.

Shuhaimi Shafiei sempat bersarapan di Warung Asnil bersama penduduk kawasan sekitar sebelum ke program seterusnya.

Beliau turut memberikan penerangan kepada penduduk terbabit berkenaan usaha-usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan itu.

“Ada beberapa projek pembangunan yang perlu diambil perhatian dan ditambah baik antaranya menaiktaraf jalan Klang-Banting.

“Ada beberapa punca utama banjir di sini, saya kira ia jika sukar dilaksanakan, dan perlu dibuat kolam tadahan bagi membolehkan air dipam keluar ke sungai.

“Usaha ini sedang dilaksanakan, sebahagian longkang konkrit juga dibuat, saya berharap kita dapat menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh ini,” katanya.

Shuhaimi berkata longkang tanah di jalan membabitkan simpang masuk dari Banting ke Johan Setia perlu dinaiktaraf daripada longkang tanah ke konkrit.

Katanya, ia bagi mengelakkan jalan mendap sepanjang empat kilometer.

“Begitu juga dengan pemasangan lampu-lampu jalan kampung sedang dilaksanakan, selain pembaikian beberapa prasarana lain,” katanya.

Pada masa sama, katanya, penduduk kawasan itu juga bakal menikmati kemudahan bas percuma, Bas Smart Selangor bagi membolehkan penduduk dapat bergerak dari destinasi ke destinasi lain.

Shuhaimi turut berkesempatan merasmikan sukaneka Tadika Tunas Budi di Jalan Kebun.

Categories
SELANGOR

Internet memudaratkan anak, awasi kaedah penggunaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 FEB: Ibu bapa disarankan mengawasi anak masing-masing khususnya dalam penggunaan internet yang boleh memudaratkan mereka.

Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafei berkata, peranan ibu bapa dalam melindungi kanak-kanak sama ada dalam realiti atau alam maya masih menjadi tanggungjawab mutlak mereka.

Katanya, tindakan ibu bapa mengawal tindakan berlebihan itu mampu mengatasi ketagihan internet atau gadjet anak mereka.

“Dunia sangat moden masa kini dan pelbagai perkara didedahkan dalam internet. Oleh itu, ibu bapa perlu mengawal dan mengatasinya supaya tidak memudaratkan anak,” katanya pada Perasmian Seminar Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) dan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), di Majis AL-Falah, Jalan Kebun, di sini.

Shuhaimi berkata, risiko utama untuk kanak-kanak berhubung internet yang perlu dipandang serius ialah buli siber, grooming siber dan dera atau eksploitasi seksual siber kerana sifat internet itu sendiri global, menjangkau batasan undang-undang negara, mudah diakses oleh pelaku dan mangsa, anonimiti juga teknologi itu sendiri.

“Jika dulu, penggunaan internet menggunakan telefon pintar amat terhad kepada golongan profesional tapi kini akses Internet menerusi telefon bimbit bukan sesuatu yang luar biasa.

“Sehubungan itu, ibu bapa perlu berkongsi dan mendekati anak untuk membantu serta melihat sendiri perkembangan mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

Shuhaimi kemuka permohonan ketepikan keputusan Mahkamah Persekutuan

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 11 JAN: Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei hari ini mengemukakan permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 8 Januari 2018 yang mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa ‘niat’ adalah wajib untuk dibuktikan dalam kes hasutan.

Permohonan itu dibuat menerusi peguam, N Surendran mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

Surendran berkata, beliau hairan mengapa Barisan Nasional masih menggunakan Akta Hasutan sedangkan ia menjejaskan hak bersuara rakyat Malaysia.

“Suhaimi mahu meneruskan perkara ini sehingga akta ini dihapuskan. Akta ini memberikan kesan kepada kebebasan bersuara di negara kita. Ini akta yang digunakan British.

“Kita akan terus berjuang supaya akta ini dimansuhkan,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada 8 Januari lalu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada November 2016 berhubung keperluan pihak pendakwaan membuktikan niat individu yang didakwa sebagai menghasut.

Mahkamah juga menyifatkan rayuan Shuhaimi supaya Seksyen 3 (3) Akta Hasutan diisytiharkan tidak berpelembagaan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah.

Bagaimanapun, Ketua Hakim Malaya Tan Sri Ahmad Maarop yang menulis keputusan sebulat suara berkenaan tidak membuat keputusan berhubung bahagian perlembagaan berkenaan.

“Mahkamah Rayuan salah dalam membenarkan rayuan responden (Mat Shuhaimi) yang mana ia mewajarkan campur tangan kami.

“Keputusan Mahkamah Tinggi dikembalikan dan keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan. Kami menolak untuk menjawab soalan dua dan tiga daripada cabaran yang dikemukakan,” katanya.

Mahkamah menyifatkan permohonan sivil berkenaan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah kerana Shuhaimi sebelum ini tidak berjaya untuk mengetepikan seksyen 4 akta sama.

Hakim lain dalam panel itu ialah Datuk Ramly Ali, Datuk Balia Yusof Wahi, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Mahkamah kemudian tidak membuat sebarang perintah mengenai kos walaupun peguam kanan persekutuan yang diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud meminta RM15,000.

Shuhaimi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari 2011 atas tuduhan menghasut dengan memuat naik satu artikel berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Shah Alam, pada 30 Disember 2010.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tuduh Selangor cakap tak serupa bikin, Rizal sindir PM sendiri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 OGOS: Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor, dianggap menyindir Datuk Seri Najib Razak apabila menyentuh isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Kerajaan Selangor.

Ia kerana Kerajaan Selangor dipimpin Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, bersikap terbuka terhadap siasatan dilakukan itu.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, kenyataan dibuat Rizal terhadap Kerajaan Selangor adalah umpama sinikal terhadap perdana menteri yang sebenarnya ‘cakap tidak serupa bikin’.

“Amat malang sebagai pegawai khas perdana menteri yang hampir setiap masa dengannya mengeluarkan kenyataan seakan menyindir Najib sendiri kerana sehingga kini masih belum bersedia disiasat SPRM walaupun wujud banyak elemen boleh membawa kepada siasatan itu.

shuhaimi“Kerajaan Selangor tidak takut sama sekali dengan siasatan SPRM jika ia dijalankan secara profesional. Yang takut pada kebenaran dan terus menutupinya adalah Umno-BN dan perdana menteri sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sri Muda itu berkata, tuduhan Rizal bahawa ‘Kerajaan Selangor cakap tak serupa bikin’ hanya bertujuan untuk memburukkan imej negeri itu selepas pimpinan UMNO Selangor sendiri seperti Tan Sri Noh Omar gagal mencalar reputasi Kerajaan Selangor.

Beliau berkata, Dato’ Menteri Besar mewakili Kerajaan Selangor berulang kali menyatakan SPRM boleh melakukan siasatan terhadap agensi di bawah pentadbirannya.

“Namun, kita berharap siasatan SPRM perlu telus dan terbuka bukan bersifat ‘selective investigation’ atau ‘selective prosecution’ termasuk ‘double standard’ daripada sudut tindakan siasatan.

“Rakyat dapat melihat secara jelas dalam kes Tan Sri Isa Samad, bertahun masa diambil sebelum siasatan dimulakan, namun berbeza dengan tuduhan ke atas Universiti Selangor (UNISEL) hanya dalam tempoh singkat digempur selepas laporan dibuat,” katanya.

NAJIB 1MDBBeliau berkata, sewajarnya Rizal menjawab terhadap keengganan Najib memberi jawapan berkaitan skandal 1MDB di Dewan Rakyat, malahan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) 1MDB masih di bawah Akta Rahsia Rasmi dan tidak diketahui umum.

Pada masa sama, Shuhaimi menggesa supaya asiasatan adil dan telus dilakukan terhadap Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan UNISEL serta tidak wajar dikendalikan seperti wujudnya sesuatu yang salah.

“Dalam masa sama, mulai esok SPRM wajar menggempur pejabat perdana menteri dan 1MDB dalam mencari bukti jenayah rasuah serta pendakwaan perlu dilakukan dengan kadar segera,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN tak larang AMANAH bertanding di Selangor dan Pulau Pinang

SHAH ALAM, 22 DIS: KEADILAN menafikan meminta Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak bertanding di Selangor dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) seperti yang dilaporkan akhbar, baru-baru ini.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafie berkata, pihaknya tidak membuat sebarang keputusan untuk melarang AMANAH daripada bertanding di dua negeri berkenaan.

“KEADILAN Selangor sangat bersetuju strategi satu lawan satu untuk berdepan BN (Barisan Nasional) dengan menyeru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memberikan lebih fokus dan tumpuan di kawasan selatan Semenanjung atau negeri lain yang belum dikuasai PAKATAN.

????????????????????????????????????

“Bagaimanapun, KEADILANSelangor akan akur dengan arahan daripada kepimpinan untuk melaksanakan sebarang kerjasama termasuk dalam pembahagian kerusi dengan PPBM,” katanya dalam kenyataan lapor MalaysiaKini yang memetik laporan Utusan Online.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, cadangan penggabungan KEADILAN dan AMANAH wajar dipertimbangkan.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, ia perlu diteliti kerana melibatkan soal kedinamikan parti dan pertubuhan yang demokratik perlu bersikap terbuka.

“Bagi saya, kita tak boleh ambil sikap acuh tak acuh atau ketepikannya (langsung). Cadangan berkenaan boleh dibincangkan dan pertimbangkan tetapi bukanlah kerana ada perebutan kerusi,” katanya.

Mengulas lanjut, Shuhaimi yang juga Setiausaha Politik Mohamed Azmin berkata, isu pembahagian kerusi hanya akan ditentukan kepimpinan parti di peringkat pusat, manakala pihaknya bersedia memberikan sebarang cadangan bersesuaian secara tertutup.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBSA diseru percepat pembinaan pasar baru Sri Muda

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disarankan mempercepatkan pembinaan pasar baru di Sri Muda yang tertangguh sebelum ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafei, berkata peniaga di pasar lama merungut kerana pembinaan pasar baru seperti dijanjikan pada 2013 masih belum siap.

“Peniaga mula merungut kerana tidak selesa keadaan pasar yang daif. Pasar ini beroperasi lebih 25 tahun. Namun, terpaksa berniaga di pasar itu kerana menunggu pasar yang baru siap.

“Saya memahami keadaan penjaja ini. Kita tidak tahu apa masalah sebenarnya dari MBSA dalam menyiapkan pembinaan pasar baru ini, saya akan meminta Ahli Majlis kawasan terbabit untuk mendapatkan penjelasan sebenarnya daripada MBSA,” katanya kepada SelangorKini.

MBSAShuhaimi berkata MBSA juga perlu membuat tapisan peniaga di pasar baru itu nanti bagi mengelakkan peniaga menyewakan premis mereka kepada warga asing.

“Peniaga sedia ada ketika ini kebanyakannya bertindak secara ali baba, menyewakan kepada warga asing. Mereka ini perlu dikenalpasti dan diambil tindakan tegas.

“Selagi pasar baru tidak siap, pelarasan peniaga tidak dapat diselesaikan. Jika kita lakukan sekarang pastinya timbul pelbagai isu,” katanya.

Sebelum ini, seramai 110 para peniaga asal di Pasar Pagi Seri Muda dijangka dapat menjalankan perniagaan mereka dalam keadaan lebih selesa dan teratur apabila MBSA menyediakan lokasi baru yang lengkap dengan pelbagai prasarana dan kemudahan, menjelang 2016.

Bagaimanapun, pembinaan pasar baru yang dianggarkan menelan kos RM22 juta itu mengalami kelewatan.

Pasar baru enam tingkat itu dibina dengan berkonsepkan ‘hypermarket’ bersebelahan tapak pasar sedia ada.

Berkeluasan dua ekar, pasar itu membabitkan 67 lot pasar basah, 72 lot pasar kering, 28 gerai makanan dan lapan buah kiosk. Terdapat tempat pelupusan sampah, surau, tandas, bilik air, pejabat pengurusan dan agak cantik serta berkonsep seperti ‘hypermarket’.

MBSA juga akan membina kemudahan 200 petak tempat letak kereta dan 112 tempat letak motorsikal.
EZY

Categories
SELANGOR

Kedudukan ketua kampung kekal hingga hujung tahun

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 14 JAN: Kedudukan ketua kampung di Selangor kekal sehingga hujung tahun ini dan akan dinilai semula selepas tempoh perkhidmatan selesai.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei, berkata ia ekoran Kerajaan Negeri menghormati permintaan PAS yang jumlah sedia ada dikekalkan.

PBT SELANGOR“Kita ambil maklum permintaan PAS untuk mengekalkan jumlah ketua kampung sedia ada, jadi kita tunggu hujung tahun,” katanya kepada pemberita di SUK, hari ini.

Mengulas pengagihan kerusi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Shuhaimi berkata, jumlah itu sudah dimuktamadkan secara muafakat.

Katanya, KEADILAN mendapat 101 kerusi, DAP (96), PAS kekal 67, AMANAH (10), lima wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan sembilan wakil istana.

“Ada 288 kerusi semuanya di 12 PBT dan PAS kekal walaupun pada peringkat awal mereka hendak tambah (kerusi) dan KEADILAN setuju serah sedikit,” katanya.

EZY