Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Perdana Menteri baru Romania wanita Islam?

SHAH ALAM, 22 DIS: Seorang wanita Islam, Sevil Shhaideh bakal mencatat sejarah tersendiri di sebuah negara bekas komunis apabila disebut-sebut bakal dilantik ke jawatan Perdana Menteri.

Pengerusi Parti Demokratik Sosial, Liviu Dragnea, mencalonkan Sevil untuk jawatan itu selepas parti terbabit memenangi pilihan raya parlimen, pada 11 Disember lalu.

Pengumuman Dragnea itu dianggap mengejutkan kerana selain namanya kurang dikenali, komuniti Muslim di Romania adalah minoriti.

romaniaSevil, 52, tidak bertanding pada pilihan raya berkenaan walaupun menganggotai parti pimpinan Dragnea.

Sevil pernah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Wilayah selama enam bulan pada 2015 di bawah pentadbiran Victor Ponta.

Ketika ini, jawatan Perdana Menteri dipegang Dragnea sehingga dia mencalonkan nama wanita memiliki kelulusan sains ekonomi itu kepada Presiden Klaus Iohannis, semalam.

Media melaporkan jawatan terkini Sevil ialah pegawai kanan di Kementerian Pembangunan Wilayah Romania.

Mengikut amalan di negara itu presiden biasanya akan berbincang dengan pemimpin politik sebelum mereka menamakan sesiapa sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, pelantikan berkenaan bergantung kepada kelulusan parlimen.

Dragnea memuji kemampuan serta pengetahuan wanita itu dalam bidang pentadbiran dan sebagai ahli politik yang rajin serta setia.

Sevil lahir di Constanta, Romania, hasil perkahwinan pasangan wanita Crimea dan lelaki Turki. Ibunya ialah Muezel Cambek, manakala bapanya bernama Saedin Cambek.

-NFN-