Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri berhak buat bantahan persempadanan semula

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur memutuskan Kerajaan Selangor mempunyai hak membuat bantahan terhadap tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persempadanan semula.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan kemenangan itu sebagai keputusan wajar menjadi mercu tanda kepada kes lain seumpamanya itu berkata perbicaraan penuh akan diadakan 20 Januari nanti.

“Keputusan ini menunjukkan mahkamah bersetuju dengan Kerajaan Negeri supaya pilihan raya diadakan adalah pilihan raya bersih dan adil kepada semua pihak dan tidak berpihak kepada satu kaum dan satu kumpulan sahaja.

“Ini keputusan penting di negara kita di mana mahkamah menerima hakikat Kerajaan Negeri berhak mewakili rakyatnya memastikan pilihan raya yang bersih dan adil pada masa akan datang.

“Diberharap, walaupun mungkin negeri lain tidak berkesempatan mengemukakan bantahan di mahkamah tetapi bagi mereka yang lakukan bantahan sepatutnya memohon mahkamah meluluskan permohonan untuk penangguhan pelaksanaan inkuari tempatan oleh SPR. Ini yang kita menang hari ini,” kata Mohamed Azmin.

menangMohamed Azmin berkata demikian selepas selesai sebutan kes permohonan semakan kehakiman permohonan pemohon untuk mendapatkan kebenaran perintah certiorari, deklarasi, mandamus dan gantung prosiding berhubung isu persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor di Mahkamah Tinggi Sivil, Kompleks Mahkamah di sini, semalam.

Hujah Kerajaan Negeri yang diwakili Datuk Ambiga Sreenevasan dan barisan peguam lain itu didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur, Yang Arif Azmi Adnan.

Jelas Mohamed Azmin cadangan persempadanan semula oleh SPR itu jelas memberi kesan buruk terhadap keharmonian hidup kepelbagaian kaum, budaya dan lapisan masyarakat di Selangor.

=EZY=