Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

NGO gerak Himpunan Peduli Ummah: Pray 4 Rohingya 23 Disember

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 DIS: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Selangor Humanitarian Fund (SHF) akan menggerakkan Himpunan Peduli Ummah: Pray 4 Rohingya di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, pada 23 Disember ini.

Pengasas SHF, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, usaha dijalankan itu adalah bagi menyatakan sokongan terhadap kumpulan etnik terbabit serta menyeru seluruh masyarakat Malaysia bersama berhimpun dan menyatakan solidariti.

“Himpunan sebegini perlu dijalankan secara berterusan bagi memberi tekanan kepada Myanmar selain membuka mata pihak berkaitan seperti PBB dan OIC dalam merangka tindakan perlu.

rohingya“Kita berharap lebih banyak NGO akan turut serta bagi menjayakan himpunan ini,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Setakat ini, lebih kurang 17 NGO menyatakan persetujuan menyertai himpunan itu antaranya Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), MUNSYID Malaysia dan Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM).

Beliau yang juga Exco Kerajaan Selangor berkata, program itu akan menghimpunkan tokoh penting negara dan dunia iaitu Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang serta Wakil Khas OIC ke Myanmar, Tan Seri Syed Hamid Albar selain selebriti juga artis terkenal tanah air.

Mengulas lanjut, katanya, SHF juga merancang mengadakan misi bantuan ‘Food Flotila for Rohingya’ melalui jalan laut bersama komuniti NGO antarabangsa, pada Januari 2017.

“Tindakan penindasan di Myanmar begitu lama dilakukan dengan tujuan menghapuskan semua atau sebahagian kaum serta penganut agama, membuktikan sudah cukup alasan untuk tindakan diambil ke atas Myanmar.

“Semua anggota ASEAN dan badan antarabangsa boleh mengambil langkah perlu untuk menghukum Myanmar berdasarkan undang-undang antarabangsa,” katanya.

-NFN-