Categories
NASIONAL

Kerjasama PAKATAN-BERSATU permulaan baik

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 15 DIS: Perjanjian kerjasama antara Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) disifatkan permulaan baik bagi mewujudkan persefahaman antara parti pembangkang.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau optimis kerjasama itu akan berterusan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Bagi parti pembangkang, ini adalah satu permulaan baik untuk mewujudkan kerjasama dan tidak dilihat sebagai dua blok berbeza.

“Saya optimis terhadap perjanjian kerjasama itu,” katanya mengulas perkara itu.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, kerjasama itu bukan perkara asing bagi negara maju yang dilaksanakan untuk membetulkan ketirisan dalam pentadbiran kerajaan.

“Kita sudah nyatakan dari awal mana-mana parti yang bersedia menerima agenda reformasi, kita raikan mereka,” katanya.

Pada 13 Disember lalu, perjanjian bersama PAKATAN dan BERSATU ditandatangani bagi membentuk kerjasama politik dalam menghadapi Barisan Nasional (BN), pada PRU-14.