Categories
NASIONAL

KWSP: Pencarum habis wang simpanan dalam masa 3 – 5 tahun

SHAH ALAM 28 DIS: Rata-rata ahli KWSP yang mencapai usia persaraan menghabiskan wang simpanan mereka dalam tempoh antara 3-5 tahun sedangkan purata jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat iaitu 75 tahun.

Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP Kuala Lumpur, Nornisah Mohd Yusof berkata, lebih membimbangkan apabila terdapat kes pesara mengeluarkan 70 peratus wang simpanan mereka dan tidak sampai 30 hari menghabiskan wang tersebut, keadaan yang tidak sepatutnya berlaku.

Nornisah menasihati orang ramai khususnya bakal pesara supaya bijak dalam mengurus kewangan dan merancang perbelanjaan dengan sebaiknya bagi meneruskan keberlangsungan hidup di hari tua.

“Bagi ahli yang memerlukan penjelasan atau bantuan khidmat nasihat boleh merujuk kepada pegawai RAS yang bertauliah di cawangan KWSP berhampiran.

“Di sini kami akan memberikan nasihat dan pandangan dalam membantu ahli membuat keputusan terbaik sebelum membuat pengeluaran simpanan KWSP,” katanya, lapor BERNAMA.

RAS juga dapat memberi bimbingan pengurusan simpanan persaraan supaya ahli dapat menjana pendapatan bulanan, bertahan lama, dan berupaya membiayai sara hidup semasa persaraan, katanya.

Nornisah menjelaskan pencarum KWSP perlu mempunyai Simpanan Asas iaitu satu jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli mempunyai sekurang-kurangnya RM228,000 ketika berumur 55 tahun bagi membiayai keperluan asas persaraan.

Jumlah ini diambil selaras dengan pencen minimum untuk sektor awam iaitu RM950 sebulan untuk jangka masa 20 tahun iaitu dari umur 55 tahun kepada 75 tahun bersamaan dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia iaitu 75 tahun.

Beliau berkata setakat tahun lalu, sebanyak 65 peratus daripada ahli KWSP yang berumur 54 tahun ke bawah mempunyai simpanan RM50,000 ke bawah.

=EZY=