Categories
NASIONAL

KWSP: Viral insentif RM2,500 warga emas palsu

SHAH ALAM 27 DIS: Dakwaan kononnya insentif RM2,500 disediakan kepada warga emas, sekali gus menggesa ahli mengeluarkan wang itu daripada akaun KWSP sebelum 31 Disember ini, adalah palsu.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kenyataan media menyatakan insentif yang didakwa khusus untuk warga emas berusia 55 tahun ke atas itu disebarkan melalui satu mesej audio WhatsApp.

“KWSP ingin menyatakan maklumat ini palsu dan insentif disebut di dalam mesej itu tidak wujud,” kata KWSP.

Menurut KWSP, ia memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab itu yang dilihat sengaja mengelirukan orang ramai.

Ahli KWSP dinasihat tidak terpengaruh dengan maklumat palsu berkenaan dan tidak menyebarkan mesej itu.

Ahli digalakkan mengunjungi laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03-89226000 bagi mendapatkan maklumat sahih.

=EZY=