Categories
SELANGOR

MDKL raih 10 PBT terbaik di Malaysia

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 19 DIS: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berjaya meraih 10 kedudukan terbaik pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi Anugerah Bandar Mampan 2016 (Program Pengukuran Bandar Mampan Malaysia) menerusi Pelaksanaan Malaysian Urban-Rural Indicators Network On Sustainable Development (MURNInets), baru-baru ini.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha bersama seluruh penduduk di daerah itu termasuk agensi kerajaan juga swasta.

“MDKL juga berjaya meraih kedudukan terbaik kategori Majlis Daerah Peringkat kebangsaan untuk Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau 2016 bagi Pengumpulan Dan Penggunaan Semula Air Hujan,” katanya dalam kenyataan.

Anugerah itu diperolehi sempena Karnival Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2016 di Dataran Merdeka.

Pada masa sama, Mohd Azhar turut berharap kejayaan itu dapat dikekalkan dengan mengajak semua pihak berganding bahu untuk mengekalkan kerjasama serta memberi komitmen jitu.

Katanya, ia juga bagi memastikan MDKL dapat dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran dalam tempoh terdekat.

“Penganugerahan ini dilihat mampu menyuntik semangat serta menjadi pendorong buat seluruh warga MDKL untuk terus komited, berdedikasi dan berintegriti dalam meningkatkan kualiti juga mutu perkhidmatan ke arah Majlis Perbandaran suatu hari nanti,” katanya.

-AA-