Categories
SELANGOR

PPASS terima sambutan positif penjawat awam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 DIS: Usaha Kerajaan Negeri menggalakkan penjawat awam berbasikal melalui Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu (PPASS) ke tempat kerja disambut baik kakitangan awam.

Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Seksyen Makro dan Penswataan, Nik Azlina Nik Mohamad Ravi berkata, semua kakitangan harus melihat aktiviti itu secara positif untuk mendokong usaha Kerajaan Negeri.

Katanya, budaya berbasikal bukan saja menyumbang kepada gaya hidup sihat tetapi turut membantu menjaga alam sekitar daripada pencemaran udara.

“Ini usaha yang wajar kita sokong di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas dan alternatif baik kepada pengguna yang mahu mengelak daripada kesesakan sama ada menggunakan kemudahan pengangkutan awam atau berbasikal ke destinasi yang hendak dituju,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, penyertaan awal 50 peserta itu akan dapat menggalakkan penjawat awam lain, sekali gus memberi contoh kepada masyarakat sekitar.

pc-28-of-28Sementara itu, Penolong Juruaudit, Muhamad Nur Fadhlullah Mohd Ghazali berpendapat, budaya itu perlu dipupuk secara berterusan ke arah merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri.

Beliau yang sebelum ini menggunakan perkhidmatan bas ke bangunan SUK melahirkan kegembiraan kerana dilancarkan dalam kalangan anggota kakitangan awam

“Tidak ada salahnya budaya yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga dan menyihatkan badan digalakkan dalam masyarakat.

“Usaha ini wajar menjadi contoh kepada negeri lain untuk diikuti semua kakitangan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan,” katanya.

PPASS dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bertujuan menggalakkan penjawat awam untuk berbasikal ke tempat kerja dengan kemudahan ‘connectivity’ pengangkutan awam yang lain seperti bas, komuter, LRT dan MRT.

-AA-