Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

MEDIU tak terlibat aktiviti jenayah

SHAH ALAM, 22 DIS: Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu), di sini, menegaskan penahanan dua penuntut antarabangsanya baru-baru ini kerana disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan, bukan hasil pengajaran dan pembelajaran di institusi swasta itu.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Luarnya, Datuk Dr Ab Ghani Mohamad berkata, kes itu adalah yang pertama kerana sejak ia ditubuhkan pada 2007, Mediu menghasilkan 2,011 graduan tanpa sebarang rekod jenayah.

“Semua silibus kita diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Mediu tidak pernah sesekali mengamalkan atau mengajar sebarang bentuk ekstremisme dan ajaran sesat kepada penuntut, pentadbiran, pensyarah selain tiada rekod jenayah.

????????????????????????????????????

“Malah, aktiviti penuntut dalam kampus juga sering diberi perhatian penuh oleh kakitangan dan pensyarah. Penahanan dua penuntut Mediu ini tidak dijangka kerana menurut pensyarah mereka, kedua-duanya tidak menunjukkan sebarang perilaku mencurigakan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, dua penuntut antarabangsa yang ditahan itu masing-masing adalah penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Fekah dan Unsur Fekah) dan tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Al-Quran.

Katanya, keluarga dua penuntut lelaki itu dimaklumkan mengenai penahanan mereka pada 3 November lalu oleh pihak berkuasa, malahan Mediu difahamkan mereka juga dihantar pulang ke negara masing-masing.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata, pihaknya kini menambah baik saringan kemasukan penuntut baharu dengan meminta mereka memaklumkan di dalam borang permohonan maklumat mengenai penaja pengajian, tempat dilawati tiga bulan sebelum mendaftar selain perlu mengakui sama ada pernah terlibat dalam sebarang kumpulan keganasan.

“Kami amat teliti dalam memilih penuntut tidak kira antarabangsa atau tempatan. Setakat ini, 1,280 penuntut dalam kampus di sini terdiri daripada 43 negara yang kebanyakannya warga Nigeria, Bangladesh dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, maklumat yang diberikan pemohon baru ketika mendaftar akan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi mengelakkan berlakunya penipuan selain mereka perlu menandatangani surat aku janji untuk patuh kepada undang-undang Malaysia dan Mediu.

Pada 20 Disember lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan tujuh lelaki termasuk empat warga asing yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan ditahan di beberapa lokasi dalam negara antara 3 November hingga 16 Disember lalu.

Katanya, semua yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas dalam operasi di sekitar Johor, Sabah, Melaka dan Selangor berumur antara 20 hingga 35 tahun dan dua daripadanya penuntut Mediu.

-NFN-