Categories
NASIONAL

Nahas Bas: SPAD diselar gagal wajib alat had laju

SHAH ALAM 25 DIS: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diselar ekoran kegagalan mewajibkan pemasangan alat pengehad kelajuan pada kenderaan awam dan penangguhan itu menyebabkan lebih banyak nyawa melayang di jalan raya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Malaysia (MACONAS), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, alat itu mampu mencegah kemalangan bas di Johor yang meragut 14 nyawa, termasuk pemandu bas terbabit.

“Apa yang SPAD buat? Ada perbincangan dan hanya rundingan, tetapi pelaksanaan nampaknya tidak dilakukan serta-merta.

“Cukup sudah. Adakah kita masih mahu melihat lebih banyak nyawa hilang disebabkan kegagalan tidak melaksanakan langkah keselamatan seperti itu?” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut polis, bas dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur itu dipandu laju sebelum kemalangan berlaku.

Amarjit menggesa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bertindak segera bagi memastikan setiap kenderaan awam dipasang alat pengehad kelajuan dan “tidak perlu tunggu sehingga 2020”.

Beliau berkata, peraturan itu dikuatkuasakan serta-merta, tetapi secara berperingkat dan peringkat awal menyaksikan semua bas baru perlu dipasang dengan alat itu tanpa sebarang pengecualian.

Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguatkuasakan penggunaan alat pengehad kelajuan terhadap kenderaan perdagangan mulai 1 Januari 2015 bagi model baru dan bagi model kenderaan ‘in-production’ dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2017.

=EZY=