Categories
BERITA UTAMA PBT PELANCONGAN SELANGOR

Pantai Remis kini berwajah baru, tarikan pelancong ke Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 28 DIS: Pantai Remis kini menampilkan wajah baru termasuk pembinaan empat medan selera dalam usaha meningkatkan imej pantai berkenaan sebagai tarikan pelancongan di daerah itu.

Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan berkata, ia merupakan sebahagian pembangunan Pantai Remis fasa dua yang menelan belanja keseluruhan RM800,000.

Katanya, pembangunan lain termasuk menaik taraf jalan dan tempat letak kereta serta benteng batu.

img_20161228_131941_287“Dengan usaha ini, kita dapat melihat kesan mendadak untuk masyarakat setempat termasuk kegiatan ekonomi pelancongan yang semakin rancak.

“Begitu juga dengan nilai hartanah yang difahamkan seekar kini mencecah RM350,000 berbanding RM120,000 sebelum ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Medan Selera Fasa Dua, Pusat Pelancongan Pantai Remis, Jeram, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Norzamri Sundur dan Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri-Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Ahmad Nazmi Razali.

Pembinaan empat medan selera itu menelan belanja RM322,560, kerja menaik taraf jalan dan tempat letak kereta pula RM115,025, manakala RM245,550 disediakan bagi menaik taraf benteng batu.

Seawal 2013, fasa satu mula dilaksanakan antara lain melibatkan kerja pemindahan penjaja sedia ada ke tapak baru, menaik taraf kemudahan infrastruktur dan rekreasi, membina gelanggang bola tampar pantai serta membersihkan kawasan.

Cadangan fasa tiga pula melibatkan kerja membina benteng batu (rock revertment) di pesisir pantai, menaik taraf infrastruktur dan kemudahan juga lanskap serta rekreasi.

-NFN-