Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Revolusi 4.0: Bersediakah? Manusia lawan Robot

OLEH MOHD EZLI MASHUT

“Ketika mesin mengambil alih dunia, matilah peradaban”. ‘Mesin’ itu maksudnya ketika kita (manusia) berfikir seperti robot; tanpa hati.'”

HARI ini kita berada pada era revolusi perindustrian 4.0. Revolusi ini bukan ramalan futuris untuk era baru masa hadapan, ia sudah muncul dan ada di mana-mana. Kegagalan mengadaptasi revolusi ini bakal menyebabkan kita ketinggalan zaman dan hanyut dibawa arus perubahan.

Robot, Internet of Things (IoT), mesin, teknologi nano dan bio terus menggantikan sumber manusia sebagai tenaga kerja. Menurut laporan World Economic Forum (WEF) sebanyak lima juta tenaga kerja di seluruh dunia bakal digantikan dengan robot menjelang 2020.

Tenaga kerja berisiko digantikan itu berkait rapat sektor kolar putih dan pengurusan. Tenaga kerja robot sudahpun menggantikan sebahagian besar tenaga manusia dalam sektor kritikal dan berbahaya dalam perindustrian, perkilangan, penjelajahan angkasa lepas serta minyak dan gas.

atmSektor perbankan juga semakin terkesan dengan revolusi 4.0 apabila semakin banyak cawangan perbankan mengalami penstrukturan dengan mengurangkan tenaga kerja. Hari ini perbankan elektronik menjadi pilihan pengguna dengan interaksi pekerja dan pelanggan dikurangkan dikaunter.

Lebih separuh pekerja di lima negara di Asia Tenggara berdepan risiko hilang pekerjaan akibat diganti robot dalam tempoh dua dekad dengan industri pakaian paling berisiko.

Satu kajian oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendapati, 137 juta atau 56 peratus pekerja dari Kemboja, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam, semuanya termasuk dalam kategori yang berisiko.

Malahan agak mengejutkan tugas wartawan juga terancam apabila robot mengambil tugasan ini. Walaupun ia umpama kisah sains fiksyen teknologi dan software berkenaan sudah wujud di dunia ini.

Apakah jawatan Presiden atau Perdana Menteri bakal diisi robot? Hanya masa menentukan!

Bagaimana menghadapi cabaran ini?

Sebenarnya banyak tugas manusia tidak boleh digantikan dengan robot. Kerja melibatkan kreativiti, inovasi, komunikasi, keusahawanan dan multitasking antaranya yang lebih dominan dengan manusia.

Maka untuk berhadapan cabaran ini, aspek kepelbagaian kemahiran dan teknik berfikir adalah kelebihan mengelakkan kerja digantikan robot. Sudah tiba masanya pekerja mempunyai banyak kemahiran supaya jika ada kerja digantikan robot sekelip mata ia tidak menjadi masalah.

mahasiswaMahasiswa di universiti juga perlu mempelbagaikan kemahiran bukan sekadar satu jurusan sahaja. Perlu adanya kemahiran lain. Pelajar jurusan agama dan syariah boleh sahaja mempunyai kemahiran dalam bidang vokasional dan keusahawanan.

Ianya penting apabila berada di pasaran kerja. Graduan mempunyai pelbagai kemahiran dan pengalaman mempunyai peluang lebih cerah diambil bekerja. Malah boleh bersaing dan memenangi pertempuran mencari kerja dengan robot serta kecanggihan teknologi.

Peluang bekerja bersama robot

Kebanjiran melampau pekerja asing di negara ini boleh diatasi dengan penggunaan robot. Sektor perladangan dan kaunter boleh menggantikan robot sebagai alternatif bagi mengatasi cabaran ini. Tak perlu pening soal visa dan rencam pekerja asing.

Sudah tiba masanya, para usahawan menggunakan robot pelayan menggantikan manusia sebagai tenaga kerja. Fenomena ini mula berlaku di negara jiran kita Singapura.

robot-kerjaNegara itu mengetatkan proses pengambilan tenaga kerja asing dalam memenuhi keperluan tenaga kerja bagi mengatasi masalah kebanjiran pekerja asing. Malah aada restoran yang mula guna robot sebagai pelayan di restoran. Salah satu contoh kedai makan yang mencuba penggunaan robot adalah seperti Chili Padi Nyonya Cafe.

Kerajaan Singapura meluluskan bajet peruntukan sebanyak RM1.35 bilion bagi merealisasi wawasan itu untuk kerja penyelidikan dan pembangunan dalam tempoh tiga tahun.

Inisiatif ini perlu dipelajari Malaysia untuk sama-sama berada dalam arus revolusi 4.0 dengan menyediakan dana kepada individu dan syarikat yang mahu melaksanakan inovasi dan cara kerja baru menggunakan robot.

Usaha di Selangor

Di Selangor usaha menyemarak dan menanam minat pelajar terhadap perkembangan ini semakin meningkat. Pada Mac 2016 lalu, sebanyak 50 buah sekolah rendah dan menengah terlibat dalam Program Robotik Selangor 2016 bertujuan memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

karnival-robotMalahan pada 27 Ogos 2016 lalu, diadakan Karnival Robot Selangor 2016 yang menampilkan pelbagai inovasi dan kreativiti. Usaha ini perlu disemarak lagi supaya ia tidak mati di tengah jalan tanpa sokongan mana-mana pihak.

Pereka dan pencetus inovasi robotik perlu diberikan penghargaan dan galakan berterusan. Syarikat perlu berani meneroka dimensi baru cara bekerja menggunakan teknologi dan robot. Ianya diharap supaya kemakmuran ekonomi baru dapat dicipta untuk kemajuan negara.

Kesimpulan

Kita tidak perlu ‘berperang’ dengan robot. Robot perlu disantuni menjadi sebahagian daripada komuniti manusia untuk sama-sama membangun negara dan dunia. Bijak menggunakan kelebihan dan keunikan robot dapat menjana sumber baru ekonomi negara dan memakmurkan dunia.

humonoidPelajarilah pelbagai ilmu dan kemahiran. Seribu langkah itu bermula daripada langkah pertama. Renungilah kata-kata pujangga ini, “Bahaya masa lalu iaitu ketika orang menjadi budak. Bahaya masa depan adalah ketika manusia menjadi robot”.

 

 

* MOHD EZLI MASHUT adalah Penolong Pengarang SelangorKini